PRN Johor: Anwar diperkenan menghadap TMJ, bicara soal negara dan Johor
Firdaus Azil
Februari 19, 2022 21:21 MYT
Februari 19, 2022 21:21 MYT
JOHOR BAHRU: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menjunjung kasih atas perkenan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerima menghadap beliau.
Dalam perkongsian terbaharu di Facebooknya, Pengerusi Pakatan Harapan yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, pertemuan itu berkisar tentang pembangunan negara, dan soal Johor.
“Satu setengah jam bersama Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
“Menjunjung kasih atas jamuan makan malam dan kesudian berbincang soal pembangunan negara serta negeri Johor Darul Ta'zim.
“Terkesan dengan keprihatinan dan sikap terbuka Tuanku dalam pertemuan tersebut,” kata Ahli Parlimen Port Dickson itu lagi.
Sebelum ini Tunku Ismail berkenan menerima kunjungan beberapa pemimpin kanan politik tanah air.
Antara yang diperkenan untuk menghadap ialah bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Tun Razak, Menteri Dalam Negeri yang juga Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk Hamzah Zainuddin, dan bekas Timbalan Menteri Pertahanan yang juga Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.
#Anwar Ibrahim
#Tunku Ismail Sultan Ibrahim
#Tunku Mahkota Johor
#TMJ
#menerima menghadap
#PRN Johor
#Johor Memilih
#pilihan raya negeri
#Ketua Pembangkang
#PKR
#Johor