PRN Johor: Ambil dos penggalak, patuh SOP dapat kurangkan penularan - Dr Malina Osman
Fareez Azman
Februari 7, 2022 06:00 MYT
Februari 7, 2022 06:00 MYT
KUALA LUMPUR: Semua pihak yang terlibat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dicadang agar mendapatkan vaksin dos penggalak bagi mengurangkan ledakan kes ketika pilihan raya itu dijalankan nanti.
Demikian kata Pakar Kesihatan Awam Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Malina Osman ketika mengulas situasi kes harian COVID-19 yang meningkat saban hari.
Jelasnya, di samping itu, prosedur operasi standard (SOP) yang akan diumumkan pada PRN itu juga perlu diperketat dalam memastikan tiada penularan kes berlaku.
"Kalau kita lihat beberapa SOP pilihan raya di Melaka dan Sarawak, saya berpendapat PRN Sarawak memberikan contoh yang baik dari segi pelaksanaan terutama kempen di peringkat lapangan.
"Kita lihat waktu itu Sarawak sedang melaksanakan pemberian dos penggalak bagi penduduknya. Kita dapati tiada letusan atau ledakan kes selepas itu.
"Jadi saya beranggapan memang SOP Sarawak yang lebih ketat daripada di Melaka boleh dilaksanakan di Johor, dan penambahbaikan mengikut situasi setempat," jelasnya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Isnin.
BACA SEMUA BERHUBUNG PRN JOHOR DI SINI
Tambah Dr Malina, selain usaha dijalankan kerajaan dan pihak berwajib, setiap individu yang terlibat dalam kempen juga perlu mematuhi SOP dengan lebih serius.
"Yang paling penting di sini ialah pematuhan SOP mereka terlibat, pengundi, calon, peraih undi, mereka yang akan mengadakan kempen di lapangan.
"Di sini saya ingin nasihatkan semua yang terlibat dalam PRN tersebut untuk mengambil dos penggalak dan memerhatikan semua risiko dalam bentuk tingkah laku yang mungkin memudahkan penularan.
"Kita harap ia (penularan kes) dapat dielakkan," jelasnya lagi.