PRN: Jangan sentuh isu sensitif - Ketua Polis Negara
Dewi Nur Harasha Alias
Julai 3, 2023 00:39 MYT
Julai 3, 2023 00:39 MYT
GEORGE TOWN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan semua parti politik yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi agar tidak memainkan isu-isu sensitif khususnya isu 3R iaitu bangsa, agama dan raja sepanjang tempoh berkempen.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, ia bagi mengelakkan wujudnya ketidakharmonian dalam kalangan rakyat terutamanya institusi diraja, agama dan bangsa sepanjang perjalanan PRN nanti.
Menurut beliau, sekiranya isu-isu tersebut dimainkan, ia akan menyebabkan berlakunya perpecahan dan ketidaktenteraman selain mewujudkan keadaan tidak harmoni dalam kalangan masyarakat.
“Untuk parti-parti politik yang bertanding, sebenarnya pada saya semua parti-parti politik, semua yang bertanding adalah orang-orang lama, sama ada saya bagi nasihat ataupun tidak, sepatutnya mereka sudah pun tahu.
“Seperti mana yang saya cakap tadi, isu-isu sensitif 3R ni jangan disentuh kerana ia boleh mendatangkan kegusaran, ketidakharmonian di dalam perjalanan pilihan raya itu sendiri dan patuhilah undang-undang terutamanya Akta Pilihan Raya itu sendiri.
“Kalau saya cakap isu rasuah, SPRM boleh cakap, jadi saya cakap tentang kesalahan-kesalahan pilihanraya, Akta Hasutan, isu 3R ini jika dimainkan, kita nampak akan menyebabkan perpecahan itu akan berlaku dan ketidaktenteraman itu akan berlaku," tegasnya.
Razarudin berkata demikian kepada media selepas mendengar taklimat persiapan PRN polis kontinjen Pulau Pinang di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) negeri, di George Town pada Isnin.
Turut hadir ialah Ketua Polis negeri, Datuk Khaw Kok Chin.
Razarudin berkata, pihaknya mahu PRN yang bakal berlangsung di enam negeri kali ini berjalan dalam keadaan aman, manakala pengundi boleh keluar mengundi dan memilih calon-calon mereka dengan selamat.
Selain itu, beliau mengingatkan parti-parti politik yang bertanding kelak supaya mematuhi peraturan dan undang-undang sedia ada khususnya yang berkaitan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Akta Hasutan.
Katanya, polis tidak akan ragu-ragu untuk membuka kertas siasatan sekiranya mendapati mana-mana pihak yang sengaja melanggar peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan.
Jelas beliau, pegawai khas yang bertindak sebagai pegawai perakam dan pegawai zon akan ditugaskan untuk memantau perjalanan kempen sepanjang PRN serta memantau aktiviti ceramah.