PRN: Isu kerusi Dusun Tua selesai, kita 'move forward' - Calon BN

Hasimi Muhamad
Julai 26, 2023 10:00 MYT
Johan berkata, kerusi DUN Dusun Tua diberikan pada saat-saat akhir selepas beberapa siri rundingan termasuk yang melibatkan kerusi DUN Sungai Pelek dan Kuala Kubu Bharu. - Foto Astro AWANI
HULU LANGAT: Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua yakin penyokong Pakatan Harapan (PH) termasuk DAP akan memberikan sokongan kepadanya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos depan, meskipun kerusi berkenaan 'bertukar tangan'.
Menurut Datuk Johan Abd Aziz, isu penyerahan kerusi DUN Dusun Tua kepada BN, yang dimenangi DAP pada pilihan raya lalu, disifatkan telah selesai dan ia diputuskan sendiri oleh Majlis Perundingan Kerajaan Perpaduan.
Jelas Johan, kerusi DUN Dusun Tua diberikan pada saat-saat akhir selepas beberapa siri rundingan.
Ia termasuk yang melibatkan kerusi DUN Sungai Pelek dan Kuala Kubu Bharu, difahamkan salah satunya akan diberikan kepada MCA dan MIC sebelum dua parti komponen BN itu memutuskan untuk tidak bertanding.
"Jadi saya ingat isu calon N23 (Dusun Tua) kita tutup, kita selesaikan dan 'move forward'. Saya pun tengok YB Edry (Edry Faizal Eddy Yusof) iaitu penyandang sebelum ini, dan saya pun menghubunginya.
"Beliau cakap dalam proses untuk hendak 'cool down' pengikut dan penyokong. Biasalah, dalam politik ini ada pendokong dan penyokong kita.
"Saya yakin (sokongan pengundi) belah BN. Tetapi parti PKR, Amanah dan DAP, saya pun yakin dan kami pun telah buat perjumpaan, (bincang) konvensyen, dan muafakat bersama. Katakan kalau DAP memimpin (diletakkan calon) ke depan untuk bertanding, dan BN akan bantu.
"Kalau PKR bertanding, BN akan bantu. Jadi itu sudah konvensyen dengan pengarah-pengarah jentera-jentera seluruh Selangor. Dan keyakinan saya berdasarkan kepada itulah (saling menyokong antara parti)," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mengakui sedikit terkilan apabila kerusi Dusun Tua yang disandang parti itu diserahkan kepada BN.
Begitupun, Loke dalam sidang akhbar pada Ahad berkata sebagai pertukaran, parti itu meletakkan syarat agar Lau Weng San dilantik sebagai Speaker DUN Selangor sekiranya PH-BN membentuk kerajaan di Selangor.
Sementara itu, Johan menambah, persepsi bahawa calon BN 'menumpang' PH untuk meraih kemenangan pada PRN ini adalah tidak benar dan istilah tersebut tidak wujud.
Pengerusi BN Hulu Langat itu berkata, setiap parti yang berada di bawah Kerajaan Perpaduan memiliki kekuatan masing-masing dan perlu bekerjasama untuk menstabilkan kerajaan.
"Jadi tidak timbul tumpang-menumpang, kita ada kekuatan kita. Betul memang hari ini kita dapat lihat persepsi ataupun sentimen hari ini, sangat mudah.
"Sentimennya, adakah kita nak menolak kerajaan yang sedang melakukan kebaikan? Kerajaan Perpaduan di bawah Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang melakukan tambah baik yang cukup banyak.
"Jadi saya rasa rakyat faham, tiada istilah BN menumpang dan serupa juga ada bahagian (UMNO) yang tidak bertanding.
"Katakan Dusun Tua ini UMNO tak bertanding, kalau undi UMNO itu berterabur, pergi ke tempat lain. Bolehkah saya cakap calon DAP menumpang kita? Tak boleh," ujarnya lagi.
BN bertanding di 12 kerusi DUN Selangor pada PRN kali ini.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kerusi DUN Dusun Tua dimenangi oleh Edry Faizal daripada DAP dengan majoriti undi sebanyak 10,422 ketika menentang Mohd Zin (BN) dan Razaly Hassan (Pas).
Setakat hari ini, selain Johan, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) turut mempertaruhkan calonnya, Al Hafiz Ikhwan Mohamad Asaad di Dusun Tua, sementara Perikatan Nasional (PN) dijangka mengumumkan calon mereka pada malam ini.
#pilihan raya negeri #Barisan Nasional #Kerajaan Perpaduan #DUN Dusun Tua
;