PRN: Datang awal mengundi sebab nak jadi contoh untuk anak, orang muda

Ridauddin Daud
Ogos 12, 2023 09:15 MYT
Dari kiri Abdul Rahim Mohd Taib, Asmira Maisarah Mohd Syukri dan dan Chua Yung Kang antara pengundi terawal yang tiba di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, Rantau, hari ini.
RANTAU: Belum pun Pusat pengundian di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, di sini, dibuka, sudah ramai pengundi menunggu di luar pagar sekolah untuk menunaikan tanggungjawab mereka.
Salah seorang daripada mereka ialah bapa kepada lima orang anak, Abdul Rahim Mohd Taib yang kini berusia 68 tahun.
Menurutnya, dia datang awal kerana mahu menjadi contoh, bukan sahaja kepada anak-anaknya, bahkan juga, kepada orang muda dan penduduk kampung.
"Saya memang dari semalam rasa berkobar-kobar nak mengundi. Hari ini pun, lepas solat Subuh, saya terus datang ke sini, pergi makan dulu di kedai berdekatan.
"Dalam 7.30, saya beratur di depan sekolah. Saya antara paling awal juga selesai mengundi di sini. Selepas
ini, saya nak balik, nak suruh anak pula keluar mengundi.
"Tak boleh nak keluar sekali, nanti tiada orang jaga rumah," katanya kepada Astro AWANI.
Bukan hanya Abdul Rahim, Asmira Maisarah Mohd Syukri, 19, juga tiba awal bagi menunaikan tanggungjawabnya.
"Saya jaga tempat mengundi, itu yang datang awal. Selepas ini saya terus bekerja di Mambau.
"Masa pilihan raya sebelum ini tidaklah begitu awal, dalam jam 10 pagi. Hari ini kira lebih awal," ujarnya.
Tidak ketinggalan Chua Yung Kang, merupakan pengundi paling awal tiba di SJKC Chung Hua.
Seawal jam 7 pagi, dia sudah berdiri di depan pintu pagar sekolah.
Kata Yung Kang, dia memilih untuk menjadi pengundi terawal yang datang kerana perlu bekerja selepas selesai mengundi.
"Saya kerja di Balakong, satu jam juga perjalanan dari sini. Itu yang saya datang awal.
"Lagipun, sampai awal, tenang sikit, orang tak ramai. Dalam keadaan COVID-19 yang masih ada, risau juga," kata Yung Kang, 38.
Kerusi DUN Rantau menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara penyandangnya dari Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan dan calon Perikatan Nasional (PN), Rozmal Malakan.
Pada 13 April 2019, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Mohamad sebagai pemenang pilihan raya kecil Rantau dengan 10,397 undian.
Mohamad menang dengan majoriti 4,510 sekali gus menewaskan lawan utamanya, Dr S Streram dari Pakatan Harapan yang mengumpul 5,887 undian.
#PRN #datang awal mengundi #DUN Rantau #pusat mengundi
;