PRN: Cuti peristiwa khas Isnin ini di Negeri Sembilan
Ridauddin Daud
Ogos 12, 2023 00:09 MYT
Ogos 12, 2023 00:09 MYT
SEREMBAN: Datuk Seri Aminuddin Harun mengumumkan cuti peristiwa khas pada Isnin selepas gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan.
Menteri Besar Negeri Sembilan itu membuat pengumuman tersebut pada sidang media di Seremban dalam majlis meraikan kemenangan calon-calon kedua-dua parti pada Sabtu.
Menurutnya, cuti itu diberikan bagi menghargai jasa pengundi Negeri Sembilan selain memberikan rehat tambahan kepada semua rakyat negeri tersebut.
"Saya nak umumkan bahawa hari Isnin adalah cuti peristiwa bagi Negeri Sembilan.
"Saya harap kita berehat sehari dua, selepas itu kita buat kerja dan pastikan kita bantu rakyat Negeri Sembilan ini," katanya ketika berucap di hadapan calon dan penyokong PH - BN Negeri Sembilan.
Terdahulu, gabungan PH dan BN mengekalkan status quo di Negeri Sembilan pada PRN selepas memperoleh majoriti dua pertiga.