GEORGE TOWN: Calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Terubong Ooi Ghee Oon membuat dua laporan polis meminta siasatan polis dilakukan susulan insiden peti undi didakwa tidak ditutup dengan baik dan sempurna.

Ghee Oon yang membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut jam 3 petang tadi berkata, kejadian dilaporkan berlaku di dua lokasi iaitu di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Relau dan Dewan Blok 4E, di Farlim.

Jelasnya, insiden berkenaan berlaku pada jam 11.30 pagi dan 1.50 petang sewaktu dia melakukan rondaan di kawasan berkenaan.

Kesal dengan insiden berkenaan, Ghee Oon menuntut penjelasan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung kejadian itu.

Selain itu, beliau juga mahu proses pilihan raya dan pengundian dijalankan semula kerana mendakwa perkara sedemikian tidak adil kepada calon bertanding.

“Bila saya buat rondaan dekat situ, saya mendapati sebuah peti undi sama seperti yang berlaku di lokasi SK Relau, (tidak diikat dengan sempurna) dan apabila saya membuat aduan kepada mereka, mereka telah membawa keluar pelekat SPR dan ada tali kabel, dan terus diletakkan pada kotak undi berkenaan. Ini tidak sepatutnya berlaku.

“Saya mempersoalkan kredibiliti SPR dalam menjalankan proses pengundian di DUN Paya Terubong dan Pulau Pinang seluruhnya.

"Saya mahu mereka melihat perkara ini secara serius dan saya mahu SPR buat semula pilihan raya ini, kerana ia tidak adil kepada kami yang bertanding," katanya.

Ghee Oon berkata, pihaknya juga agak terkejut dengan alasan diberikan petugas SPR bahawa mereka terlupa untuk menutup peti undi berkenaan.

“Alasan apabila ditanya, mereka memberitahu, mereka terlupa untuk menutup peti undi berkenaan.

"Jika ia berlaku hanya di satu tempat, kita boleh terima, tetapi ini berlaku di dua lokasi berlainan,” katanya kepada media hari ini.

Terdahulu,  proses mengundi di saluran 15 di sekolah berkenaan dihentikan sementara selepas Ghee Oon  yang melakukan rondaan di sekolah berkenaan terlihat peti undi berkenaan tidak diikat dengan sempurna.

Bagaimanapun proses pengundian bersambung semula selepas pihak SPR membuat pemeriksaan dan menutup kembali peti undi tersebut.