PRN: Bukit Aman nafi Sanusi ditahan

Hilmi Malik
Ogos 5, 2023 22:34 MYT
Ketua Komunikasi Korporat Bukit Aman ACP A. Skandaguru berkata, tiada sebarang tangkapan dibuat PDRM. - Gambar fail/PDRM
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan ada membuat tangkapan terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Ketua Komunikasi Korporat Bukit Aman ACP A. Skandaguru berkata, tiada sebarang tangkapan dibuat PDRM.
"PDRM menafikan laporan berita yang menyatakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ditahan atau dipanggil untuk dirakam percakapan hari ini.
"Tiada pihak dari Bukit Aman, peringkat Kontinjen Kedah atau Ibu Pejabat Polis Daerah di Kedah yang melakukan tindakan seperti yang dilaporkan berita berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sementara itu, pegawai kepada Sanusi dalam masa sama turut membuat penafian berhubung tangkapan berkenaan.
Sebaliknya beliau memaklumkan, Menteri Besar Kedah itu masih berada bersamanya di dalam kawasan.
"Saya masih bersama dengan Menteri Besar. Beliau ada urusan di Sik," katanya.
Pemerhatian Astro AWANI juga mendapati Sanusi sedang bersiaran secara langsung mengenai perkembangan politik menerusi platform TikTok Papagomo.
Sebelum ini, maklumat awal daripada sumber dalaman PDRM yang diterima Astro AWANI sebelum ini menyatakan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu ditahan polis Bukit Aman.
Menerusi video sebuah program di Padang Serai juga memaklumkan, Sanusi tidak dapat menghadirkan diri atas faktor keselamatan.
#Perikatan Nasional #Polis Diraja Malaysia #membuat tangkapan #dirakam percakapan
;