PRN: "Bukan darah daging jadi percaturan" - Azwan Ali antara pengundi terawal di DUN Hulu Kelang
Hasimi Muhamad
Ogos 12, 2023 08:45 MYT
Ogos 12, 2023 08:45 MYT
HULU KELANG: Seperti kelazimannya, selebriti Azwan Ali sentiasa menjadi antara pengundi terawal yang selesai menjalankan tanggungjawab di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Klang Gate, di sini, hari ini.
Lebih mesra disapa sebagai Diva AA, pengacara sensasi itu berkata, dia bangun seawal jam 4.30 pagi dan tiba pada pukul 7 pagi di pusat mengundi selepas bertolak dari Semenyih bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang.
Azwan yang juga adik calon DUN Hulu Kelang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali itu berkata, pada awalnya, dia enggan keluar mengundi kerana sudah muak dengan situasi politik negara.
“Tapi pagi tadi saya rasa rugi kalau tidak mengundi, dan sebab itu saya datang dari Semenyih dan saya terkejut melihat semua rakan media.
“Saya dah tak nak mengundi, kalau tanya kenapa, tak kuasa ya. Tapi saya terdetik untuk datang sebab saya rasa rugi pula satu undi kerana ia bernilai.
“Ia terlalu berharga, soal menang atau kalah calon yang kita undi itu, bukan isu,” katanya ketika ditemui.
Dalam masa sama, Azwan, 57, menyifatkan saingan di kerusi DUN Hulu Kelang sebagai sengit.
“Saya undi siapa? Jawapan saya senang, bukan darah daging jadi percaturan… kita undi adik-beradik? Tidak.
“Isunya ialah kita nak pilih pemimpin yang berkaliber,” tambahnya.
Kerusi DUN Hulu Kelang menyaksikan saingan satu lawan satu antara Mohamed Azmin yang juga bekas Menteri Besar Selangor dari Perikatan Nasional (PN) dengan dengan ‘anak didiknya', Juwairiya Zulkifli mewakili Pakatan Harapan (PH).