PRN: Bersih khuatir laman media disekat, dakwa mengulangi zaman regim dahulu

Firdaus Azil
Ogos 8, 2023 11:10 MYT
BERSIH berkata, satu proses yang telus perlu ada melalui surat tunjuk sebab dan peluang memohon sebelum sebarang sekatan dibuat.
KUALA LUMPUR: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) hari ini menzahirkan kebimbangan tentang dakwaan beberapa laman media telah disekat, seolah-olah mengulangi corak pentadbiran kerajaan terdahulu.
Dalam satu kenyataan hari ini, BERSIH berkata, kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu untuk menunaikan ikrar beliau, sebagaimana yang tertulis dalam manifesto gabungan beliau untuk mempertahankan kebebasan bersuara dan melindungi kebebasan media.
Sekiranya ada sebarang isu terhadap kandungan daripada sesebuah organisasi media, BERSIH berkata, satu proses yang telus perlu ada melalui surat tunjuk sebab dan peluang memohon sebelum sebarang sekatan dibuat.
“BERSIH khuatir dengan keputusan kerajaan untuk menyekat akses laman sesawang UtusanTV.com melalui beberapa Pembekal Perkhidmatan Internet (ISP). Laman ini adalah laman serpihan daripada seksyen gaya hidup di Utusan Malaysia.
“Satu portal yang lain iaitu MalaysiaNow juga telah disekat daripada 28-30 Jun. Tindakan sebegini adalah adalah serupa dengan sekatan zaman (bekas Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Razak yang menyekat portal berita dan laman sesawang Bersih yang kritikal terhadap kerajaan beliau,” menurut kenyataan itu lagi.
Semasa era tersebut, BERSIH berkata, Pakatan Harapan (PH) telah dinafikan akses kepada platform media kerajaan dan sebarang laporan terhadap mereka oleh tersebut adalah serong dan buruk.
BERSIH berkata, PH perlu mengingati kembali manifesto mereka semasa PRU14 dan PRU15 menjanjikan kebebasan media dan menghapuskan peruntukan drakonian dalam Akta yang boleh disalahguna untuk menghalang kebebasan bersuara, seperti Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan Akta Percetakan dan Penerbitan 1984.
Sehubungan itu, badan itu berkata, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) Hak Asasi, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi perlu menganjurkan pendengaran awam bagi mendapatkan maklum balas bagi meminda Akta Komunikasi dan Multimedia untuk pendemokrasian operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), salah satu daripada institusi yang lahir pada era autoritariansme.
“Walaupun ada rakyat Malaysia yang menyokong tindakan sebegini kerana kontroversi isu 3R, kami ingin mengingatkan Kerajaan dan semua pihak berkepentingan bahawa ekstremisme hanya boleh dicegah melalui langkah yang sah, bersasar dan adil, serta menggalakkan perbahasan yang sihat dan konstruktif.
“Sekiranya tindakan keras dianggap perlu daripada perkiraan yang partisan, suara yang dibungkam ini hanya akan membesar ‘bawah tanah’, yang lebih mengancam inklusiviti dan kestabilan,” tegas BERSIH lagi.
Selain itu BERSIH turut menggesa stesen media seperti Bernama dan RTM untuk memberikan siaran percuma kepada semua pemimpin gabungan politik di peringkat negeri untuk mengemukakan manifesto mereka, liputan media yang saksama dan menganjurkan debat politik antara gabungan dan parti.
“Pada hari dan era kebolehcapaian media sosial ini, adalah sia-sia bagi mana-mana kerajaan untuk cuba menghalang lawan mereka.
“Sebaliknya, Kerajaan Madani perlu memimpin jalan untuk menggalakkan wacana terbuka di media milik kerajaan agar rakyat Malaysia dapat menilai sendiri kepelbagaian pandangan dan ideologi yang saling bersaing,” menurut kenyataan itu lagi.
#Bersih #sekatan media #Kebebasan Media #Kerajaan Terdahulu
;