PRN: Anggota keselamatan diminta guna kuasa pilih wakil, kerajaan kukuh - PM

Bernama
Ogos 7, 2023 00:31 MYT
Anwar berkata mereka juga perlu menggunakan amanah yang diberikan untuk memilih wakil yang lebih menggarap permasalahan rakyat dan kerajaan stabil. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Semua anggota dan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terlibat dalam pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) hari ini diminta menggunakan kuasa dengan baik untuk memilih wakil serta kerajaan negeri yang kukuh.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata mereka juga perlu menggunakan amanah yang diberikan untuk memilih wakil yang lebih menggarap permasalahan rakyat dan kerajaan stabil.
"Saya ucapkan selamat mengundi awal buat semua anggota dan pegawai ATM dan PDRM. Saya mendoakan semoga proses pengundian yang akan berlangsung hari ini dapat berjalan lancar dan sempurna.
"Buatlah pilihan yang terbaik untuk membela nasib kalian dan keluarga, insya-Allah," katanya dalam hantaran di laman Facebook malam Isnin.
Menerusi hantaran video pula, Anwar berharap pengundian hari ini dapat dilaksanakan dengan niat yang baik untuk menyelamatkan negara dan menjamin kestabilan politik supaya khidmat kepada rakyat dapat disempurnakan dengan baik.
Beliau berkata tujuan undi awal ialah bagi memastikan pasukan keselamatan dapat membantu dan mengawal proses PRN pada 12 Ogos ini berjalan dengan aman serta lancar.
Menurut laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pengundian awal membabitkan sejumlah 49,660 anggota ATM dan 47,728 anggota polis bersama pasangan masing-masing di enam negeri yang terlibat dalam PRN kali ini iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu serta Kelantan.
Bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen (PRK) Kuala Terengganu pula, sejumlah 1,362 anggota polis dan 35 anggota tentera bersama pasangan masing-masing terlibat dalam proses pengundian awal.
SPR menetapkan esok sebagai pengundian awal bagi PRN di keenam-enam negeri dan PRK Kuala Terengganu hari mengundi pada 12 Ogos ini dengan tempoh berkempen selama 14 hari iaitu hingga 11.59 malam 11 Ogos.
-- BERNAMA
#Angkatan Tentera Malaysia #Facebook #pilihan raya negeri #pengundian awal
;