PRN: Amanah pertaruh 40 peratus muka baharu

Umavathi Ramayah
Julai 20, 2023 18:40 MYT
Salahuddin (tengah) ketika melancarkan inisiatif Payung Rahmah sempena kempen Ibu dan Si Manja bersama Mydin pada Khamis. -Foto Astro AWANI/Shahir Omar
SUBANG JAYA: Parti Amanah Negara (Amanah) mempertaruhkan kira-kira 40 peratus calon muka baharu untuk bersaing dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos nanti.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, Amanah hanya menampilkan calon yang berwibawa, berkaliber dalam pelbagai bidang serta calon yang boleh menang.
"Ada calon yang dikekalkan, ada calon muka baharu, ada kali pertama ditampilkan. Latar belakang politik dan pembabitan juga diambil kira.
"Kita akan tampilkan calon terbaik kita. Yang penting calon boleh menang dan kita menampilkan calon muka baharu antara 30 peratus hingga 40 peratus.
"Kita yakin semuanya boleh menang," katanya pada sidang media selepas melancarkan inisiatif Payung Rahmah sempena kempen Ibu dan Si Manja bersama Mydin, di sini pada Khamis.
Program jualan Rahman di semua cawangan pasar raya Mydin di Semenanjung Malaysia menawarkan penjimatan sehingga 50 peratus bagi barangan keperluan bayi seperti pakaian, barang mandian dan pelbagai peralatan bayi.
Mengulas lanjut Salahuddun memaklumkan, parti itu akan meletakan calon di kesemua enam negeri pada PRN kali ini.
Menurutnya, Amanah sudah ada sembilan penyandang di Selangor, tiga di Negeri Sembilan dan ada lima di Kedah dan dua di Pulau Pinang.
"Saya yakin dalam tempoh dua tiga hari lagi, pembahagian semua kerusi akan dimuktamadkan dan akan diumumkan oleh parti yang bertanding.
"Jadi tunggulah dua tiga hari lagi dan Amanah sudah pun memuktamadkan kerusi yang kita nak bertanding," katanya.
Dalam pada itu beliau turut memberi jaminan bahawa bantuan bekalan gula akan diberikan dalam tempoh beberapa jam setelah menerima aduan.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, berkata, tindakan segera itu diambil bagi memastikan bekalan gula di seluruh negara mencukupi.
"Jika ada aduan, kita akan terus menyalurkan bekalan terus ke sana," ujarnya.
Sebelum ini, Salahuddin menafikan negara berdepan masalah kekurangan bekalan gula tempatan ketika ini.
#Parti Amanah Negara #pilihan raya negeri #muka baharu #calon boleh menang
;