PRN: 5 tawaran termasuk bantuan tunai dilaksana dalam masa 100 hari - Amirudin

Hasimi Muhamad
Ogos 11, 2023 12:23 MYT
Amirudin ketika melancarkan Tawaran Kita Selangor: 5 Tekad Untuk 5 Tahun pada 31 Julai lalu - Foto fail/AWANI
KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) Selangor memberi jaminan melaksanakan lima perkara yang dijanjikan dalam manifesto Tawaran Kita Selangor dalam tempoh 100 hari, jika diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata keyakinan melaksanakan tawaran berkenaan bukanlah kerana gabungan itu angkuh, sebaliknya percaya dengan kebijaksanaan rakyat di negeri tersebut.
"Oleh itu dalam jangka masa 100 hari selepas kemenangan Kita Selangor nanti, Kerajaan Perpaduan Negeri Selangor akan melaksanakan lima perkara yang diikhtiarkan dalam Tawaran Kita Selangor.
"Pertama, menghargai wanita bekerja dengan pemberian RM1,000 kepada 5,000 wanita bagi mengurangkan kos penjagaan anak-anak.
"Melaksanakan pengecualian cukai pintu untuk rumah kampung, rumah kos rendah. Selain itu 1,000 mahasiswa Negeri Selangor akan terima baucar buku Kita Selangor bernilai RM200.
"Selain itu, menaikkan elaun imam, bilal dan siak serta seramai 500 petani, pesawah dan nelayan akan terima Insentif Pertanian dan Perikanan Kita Selangor berjumlah RM1,000," katanya ketika menyampaikan Amanat Khas Menteri Besar hari ini.
Pengerusi Harapan Selangor itu menambah kerajaan yang terbukti cekal, cekap dan berwibawa mampu mengangkat Selangor dan rakyatnya ke tahap yang lebih tinggi.
Justeru beliau berkata,Tawaran Kita Selangor: Lima Tekad, Lima Tahun merupakan suatu komitmen serta iltizam Kerajaan Perpaduan buat Selangor untuk lima tahun akan datang.
"Ia juga hadir daripada ikhtiar dan fikiran yang mendalam serta murni demi Selangor dan rakyatnya," kata Amirudin.
Mengikut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 26,557 tentera, polis dan pasangan masing-masing layak mengundi awal di Selangor, manakala lebih 3.71 juta pengundi biasa akan mengundi esok.
#PRN #PRN Selangor #Amirudin Shari #tempoh tunai manifesto
;