PRN: 372 laporan polis, Kedah tertinggi - KPN
Sinar Harian
Ogos 2, 2023 17:21 MYT
Ogos 2, 2023 17:21 MYT
KUALA LUMPUR: Sebanyak 372 laporan polis diterima berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) membabitkan enam negeri sejak 27 Julai hingga 1 Ogos lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, setakat ini hanya dua tangkapan direkodkan sepanjang tempoh itu membabitkan kes khianat terhadap bahan kempen PRN dan kes penghinaan di media sosial yang dilaporkan di Kedah pada Selasa.
"Kedah mencatatkan penerimaan laporan polis tertinggi dengan 147, Selangor (133) dan Terengganu 58 laporan.
"Kita turut menerima sebanyak 25 laporan di Negeri Sembilan, Kelantan (lima) dan Pulau Pinang mencatatkan empat laporan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Razarudin berkata, sebanyak 778 permit ceramah dikeluarkan di semua enam negeri.
"Permohonan paling tinggi untuk permit ceramah adalah di Kedah dengan 199 permohonan, Selangor 162 permohonan dan Terengganu 148 permohonan.
"Berdasarkan laporan yang diterima pihak polis membuka 24 kertas siasatan membabitkan lapan di Selangor, Kedah (5), Negeri Sembilan (2), Terengganu (1) dan masing-masing Pulau Pinang dan Kelantan (4)," katanya. - Sinar Harian