PRN: 131 kertas siasatan dibuka di enam negeri - Ayob Khan

Hasimi Muhamad
Ogos 12, 2023 04:12 MYT
Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay kebanyakan kes yang direkodkan adalah berkaitan perbuatan khianat terhadap poster, selain flash mob tanpa permit polis. - Gambar fail
GOMBAK: Sebanyak 131 kertas siasatan dibuka di seluruh negara berhubung pelbagai kesalahan sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).
Daripada jumlah tersebut, sekurang-kurangnya 28 kertas siasatan melibatkan Selangor.
Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay kebanyakan kes yang direkodkan adalah berkaitan perbuatan khianat terhadap poster, selain ‘flash mob’ tanpa permit polis.
“Sepanjang tempoh selepas penamaan calon, tidak ada satu pun laporan berhubung dengan isu 3R (Agama, Kaum dan Institusi Diraja). Tetapi yang ada hanya lah kes-kes berkaitan dengan khianat.
“Ini yang berkaitan dengan merosakkan poster kedua-dua belah pihak (kerajaan dan pembangkang),” katanya kepada pemberita selepas meninjau Pusat Mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Klang Gate, di sini.
Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata setakat tinjauan hari ini, proses pengundian berjalan lancar dan tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku.
Dalam masa sama, beliau berkata seramai 35,000 bantuan sumber manusia Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah digerakkan bagi membantu penugasan PRN di enam negeri.
Daripada jumlah tersebut, seramai 5,226 anggota ditugaskan di Selangor.
Sementara itu, Ayob Khan turut menasihati semua pihak agar bersikap matang dan tidak melakukan provokasi.
Tegasnya, jika ada sebarang pelanggaran undang-undang, polis akan mengambil tindakan tanpa mengira parti.
Setakat pukul 11 pagi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan peratusan keluar mengundi di Selangor adalah 28 peratus.
#PRN #PRN Selangor #PDRM #ayob khan mydin pitchay