PRK Teluk Intan: Sebagai ibu, saya restui Dyana - Yammy

Astro Awani
Mei 18, 2014 08:26 MYT
Calon DAP P.046 Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud
Calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud mendapat restu ibunya, Yammy Samat untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil P.076 Teluk Intan yang dijadualkan berlangsung pada 31 Mei ini, lapor Roketkini.
Yammy berkata keputusan DAP menamakan Dyana Sofya sebagai calon membuktikan parti itu berpegang teguh pada prinsip kepelbagaian untuk semua.
“Saya merestui pencalonan beliau, kerana apa yang diusahakan adalah demi kebaikan negara.
“Dengan meletakkan Dyana sebagai calon, pada saya adalah pilihan yang tepat di saat muncul pelbagai dakwaan terhadap DAP kononnya pro-Cina dan anti-Melayu, sedangkan ia tidak benar sama sekali.
“Saya juga memuji tindakan berani DAP meletakkan calon muda yang lebih bertenaga dan berfikiran terbuka untuk dibawa ke Parlimen dalam menegakkan keadilan serta perubahan kepada rakyat, terutama kepada rakyat Teluk Intan,” katanya selepas majlis pengumuman Dyana Sofya sebagai calon di pusat operasi pilihanraya DAP disini, pada Sabtu.
Yammy juga dilaporkan menyeru pengundi Teluk Intan terutama golongan veteran supaya membuat pertimbangan sewajarnya sebelum mengundi.
“Sebagai seorang ibu, sudah tentu saya mahukan kemenangan. Tapi semuanya terletak di tangan para pengundi.
“Jadi saya berharap pengundi di sini (Teluk Intan) membuat pilihan sewajarnya dengan memberi peluang kepada golongan muda yang lebih berdaya saing, demi menjayakan politiik baru untuk Malaysia,” ujarnya.
Akhbar Mingguan Malaysia pula dalam laporannya menyebut Yammy menyifatkan DAP bakal berdepan risiko besar dengan meletakkan Dyana Sofya sebagai calon.
Yammy dilaporkan sebagai berkata DAP bakal berhadapan risiko kehilangan sokongan pengundi lain berikutan meletakkan calon Melayu di kawasan yang majoritinya pengundi Cina.
"“Bukan nak ambil hati orang Melayu kerana DAP menentang hudud tetapi ini satu risiko besar yang terpaksa dihadapi mereka apabila memilihnya kerana dia orang Melayu.
“Dia orang muda dan bukan semua parti memberi peluang dan kepercayaan kepada generasi muda untuk berada di tempat sepertinya pada hari ini.
Sebagai ibu, saya akan sentiasa berada di sampingnya," Yammy dipetik sebagai berkata oleh Mingguan Malaysia ketika mengiringi Dyana Sofya.
Yammy juga dilaporkan akan memberi sokongan kepada Dyana Sofya atas kapasitinya sebagai ibu kepada wanita muda itu biarpun berbeza parti politik.
“"Sebagai ibu, saya akan sokong anak saya. Saya akan ikut dia berkempen juga kerana dia anak saya, bukan parti (DAP). Saya adalah ahli UMNO dan saya tidak akan keluar UMNO selain jika dipecat parti,'' kata ahli UMNO Bahagian Ipoh Barat itu.
Setiausaha Politik kepada Ketua Parlimen Kebangsaan DAP, Lim Kit Siang telah diumumkan sebagai calon DAP yang mewakili Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Kecil yang diadakan akibat kematian penyandangnya Seah Leong Peng, pada 1 Mei lalu.
Dyana Sofya bakal berdepan cabaran Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong, yang pernah memenangi kerusi Teluk Intan selama dua penggal.
Penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil P.076 Teluk Intan dijadualkan akan berlangsung pada Isnin ini.
Sekiranya menang, Dyana Sofya akan jadi ahli parlimen Melayu ketiga DAP dalam penggal Parlimen ini selepas Zairil Khir Johari (Bayan Baru) dan Ariff Sabri Abdul Aziz (Raub).
Dalam Pilihan Raya Umum ke-13 setahun yang lalu, calon DAP, Seah Leong Peng mengalahkan calon Barisan Nasional, Datuk Mah Siew Keong dan calon bebas K. Moralingam dengan majoriti 7,313 undi.
#DAP #Dyana Sofia Mohd Daud #Melayu #muda #Teluk Intan
;