PRK Teluk Intan: Satu ujian untuk "politik perkauman"
Teoh El Sen
Mei 19, 2014 08:54 MYT
Mei 19, 2014 08:54 MYT
Pertandingan antara calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud dan Datuk Mah Siew Keong dari parti GERAKAN di Pilihan Raya Kecil P076 Teluk Intan merupakan satu ujian untuk kedua-dua Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional.
Pertama sekali, pencalonan Dyana Sofya – seorang gadis Melayu yang sangat muda – dilihat sebagai satu cubaan olehpihak DAP untuk mendekati pengundi Melayu dan satu strategi untuk berhadapan dengan PRU14 nanti.
Sekiranya DAP dapat mengambil kesempatan dari kemenangan besar Sofya di kawasan yang sekian lama meletakkan seorang calon kaum Cina, ia akan memberi satu gambaran senario politik Malaysia yang berbeza -- di mana pengundi tidak lagi mementingkan latar belakang bangsa seseorang calon.
“Walaupun keputusan DAP untuk meletakkan calon Melayu ini merupakan sesuatu yang bunyinya sedap, ia bukan semestinya bermaksud ia sudah berjaya mengubah pemikiran politik pengundi di Teluk Intan,” menurut penganalisis politik Khoo Kay Peng.
"Ironinya, DAP menggunakan (elemen) kaum untuk cuba menghapuskan politik perkauman (itu sendiri)," tambahnya.
Khoo berkata DAP masih boleh menggunakan sentimen “anti BN”, terutamanya di kalangan pengundi Cina. Tetapi pada masa yang sama, untuk pilihanr aya ini, pengundi Teluk Intan tidak lagi dipengaruhi oleh hujah untuk “ubah” kerajaan.
Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu, DAP memenangi kerusi tersebut melalui calonnya, Seah Leong Peng yang mengalahkan calon Barisan Nasional, Mah dan calon bebas K. Moralingam dengan majoriti 7,313 undi.
Leong Peng meninggal dunia pada 1 Mei lalu akibat penyakit barah.
Teluk Intan merupakan kawasan majoriti pengundi Cina tetapi mempunyai saiz pengundi Melayu yang besar. Kawasan parlimen itu terdiri daripada 42 peratus pengundi Cina, 38 peratus Melayu dan 19 peratus India.
Faktor calon mengimbangkan peluang
Bagi Khoo, kedua-dua DAP dan GERAKAN mempunyai peluang 50-50 untuk menang di PRU pada 31 Mei ini.
“Dyana masih muda hanya dua tahun dalam politik. Adakah beliau, yang tidak berasal daripada Perak, mampu medekati pengundi di sana, terutamanya pengundi Cina?”
“Kalau dibandingkan antara calon, Mah adalah seorang tokoh yang dikenali, boleh bertutur dalam bahasa Cina dan juga berasal dari sana.”
Bagi calon GERAKAN Mah, yang telah banyak kali bertanding di Teluk Intan dan pernah berkhidmat sebagai ahli Parlimen di situ, kemenangan di kawasan itu akan memberi satu rangsangan penting kepada komponen parti itu.
Ujian untuk GERAKAN dan BN
Kalau presiden GERAKAN itu dapat memenangi kawasan itu, ia akan menunjukkan BN secara keseluruhannya sudah dapat meyakinkan rakyat semula sejak PRU13 pada bulan Mei 2013, menurut penganalisis politik Profesor Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff
“GERAKAN dan parti komponen dilihat sudah tiada sokongan yang banyak lagi. Persaingan hebat akan berlaku di kalangan pengundi Melayu PAS dan UMNO. Isu-isu semasa seperti MH370, GST, kenaikan bil elektrik akan memberi kelebihan kepada DAP.”
Walaupun Mah lebih berpengalaman, Agus berkata kelebihan BN kini lebih bergantung kepada kuasa jenteranya, serta kelebihan dari segi wang dan jumlah projek.
Perubahan politik perkauman?
Felo Penyelidik Utama KITA, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Mansor Mohd Noor, berkata keberanian DAP untuk meletak seorang calon Melayu akan menguntungkan Pakatan Rakyat.
“Mereka tahu kebanyakan pengundi Cina sudah dalam tangan. Dalam perkiraan saya, BN masih mempunyai peluang yang tipis dan akan kalah,” kata Mansor.
Mansor berkata kedua-dua DAP dan GERAKAN menyebut tentang politik tanpa kaum, tetapi kedua-dua parti itu masih berdepan dengan isu kaum, dan ini juga akan dilihat semasa isu hudud sedang diperdebatkan.
“Kalau kaum bukan lagi isu pertama, dan isunya adalah korupsi, pentadbiran dan pembangunan, kenapa BN masih lagi mempunyai parti komponen yang berlandaskan kaum?”
“Adakah sudah tibanya masa BN juga mengkaji balik formula kaum mereka? Dari segi sokongan parti komponen lain, adakah BN dapat dilihat bersatu padu seperti Pakatan Rakyat?”
Mansor berkata, sejak beberapa tahun yang lalu semenjak kawasan pilihan raya lebih berunsur campuran pelbagai faktor lain, sentimen soal kaum sesorang calon sudah berubah.
“Negara sudah berubah dan ramai yang lebih terbuka sekarang, bukan sahaja satu persepsi orang muda Gen-YXZ dan urban sahaja,” akhiri Mansor.