PRK Tanjung Piai: SPR pertimbang calon berusia 18 tahun
Bernama
September 26, 2019 06:08 MYT
September 26, 2019 06:08 MYT
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan perbincangan dengan wakil parti politik termasuk pembangkang bagi menentukan sama ada calon berusia 18 tahun, diterima untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.
Pengerusi SPR Datuk Azhar Azizan Harun berkata justeru satu program libat urus secara dwi parti akan diadakan dalam masa terdekat.
"Untuk calon, sebenarnya saya akan melibat urus secara dwi parti dalam masa terdekat ini untuk membincangkan perkara tersebut dan kita akan umumkan selepas itu.
Saya tengah aturkan (program libat urus) bukan senang nak cari semua wakil pembangkang dan kerajaan untuk hadir dan kena cari tarikh sesuai untuk semua hadir.... sekiranya lulus maka PRK Tanjung Piai akan menjadi PRK pertama calon berusia 18 tahun bertanding dalam sejarah pilihan raya negara," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Voting Education Society (VES) UiTM Seremban di sini, pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai sama ada calon berusia 18 tahun boleh bertanding dan pengundi berusia 18 tahun mengundi.
Bagaimanapun, mengenai pengundi berusia 18 tahun, Azhar berkata pengundi berusia 18 tahun masih belum dibenarkan untuk mengundi.
"Ini kerana penguatkuasaan peruntukan untuk membolehkan pengundi berusia 18 tahun mengundi hanya akan diwartakan apabila Yang di-Pertuan Agong memutuskan tarikh penguatkuasaannya," katanya.
Dewan Rakyat pada 16 Julai lalu meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur mengundi, pendaftaran pengundi automatik, dan menurunkan umur calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun.
Bagaimanapun sebelum ini Azhar berkata, SPR memerlukan masa, sekurang-kurangnya setahun setengah untuk melaksanakan keputusan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019.
Kerusi parlimen Tanjung Piai mengalami kekosongan berikutan kematian Ahli Parlimennya yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 21 Sept lepas ekoran komplikasi jantung.
SPR dijangka mengumumkan tarikh PRK selepas mesyuarat khas pada Selasa depan.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas, Dr Md Farid memperoleh majoriti undi sebanyak 524 dalam cabaran tiga penjuru sekali gus mengalahkan Datuk Seri Wee Jeck Seng (Barisan Nasional-MCA) dan Nordin Othman (PAS).
Kerusi Parlimen Tanjung Piai yang mempunyai 53,528 pengundi pada PRU14, mempunyai komposisi kaum terdiri daripada 56.8 peratus Melayu, 41.64 peratus (Cina), 1.01 peratus India manakala lain-lain sebanyak 0.55 peratus.
--BERNAMA
#Azhar Azizan Harun
#calon prk
#dwi parti
#parti politik
#pilihan raya kecil
#PRK
#SPR
#Suruhanjaya Pilihan Raya
#Tanjung Piai