PRK Tanjung Piai: Pakatan Harapan akui persaingan mencabar

Astro Awani
Oktober 4, 2019 14:07 MYT
Muhyiddin Yassin mengakui persaingan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai pada 16 November ini sebagai amat mencabar. - Gambar fail BERNAMA
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui persaingan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai pada 16 November depan sebagai amat mencabar.
Bagaimanapun, PH, kata beliau, tetap bersedia dan tidak akan memandang mudah terhadap persaingan pihak pembangkang.
"Kita mengambil sikap bahawa ini adalah persaingan pilihan raya yang amat mencabar. Kita tidak pandang mudah. Saya percaya pihak pembangkang juga bersedia untuk mencabar . Namun kerana ini adalah realitinya, kita akan menghadapinya dengan tabah dan menghadapi realiti itu," katanya dalam sidang media di sini pada Jumaat.
BACA: PRK Tanjung Piai: PH sudah ada nama calon
Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, PRK Tanjung Piai adalah penting dan boleh menjadi isyarat kepada kehendak dan penerimaan pengundi.
"Kita harap pengundi di Tanjung Piai yang melebihi 52,000 orang akan memberi sokongan padu. Walaupun ia adalah pilihan raya kecil, tetapi ia mempunyai signifikan di peringkat nasional dan antarabangsa kerana negara memerhati apakah yang diputuskan pengundi di situ, yang memberikan berbagai isyarat. Namun, kita terima apa sahaja bentuk kemungkinan," tambahnya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Tanjung Piai pada 16 November depan.
Penamaan calon ditetapkan pada 2 November manakala tarikh mengundi awal ialah pada 12 November.
PRK Tanjung Piain diadakan berikutan kematian penyandangnya, Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri akibat komplikasi jantung.
#calon #Malaysia #Muhyiddin Yassin #Pakatan Harapan #Parlimen #pembangkang #pilihan raya #pilihan raya kecil #PPBM #Suruhanjaya Pilihan Raya #TanjungPiaiMemilih
;