PRK Tanjung Piai: Calon PH dibincang dalam mesyuarat Majlis Presiden - Guan Eng

Dewi Nur Harasha Alias
September 28, 2019 15:34 MYT
Calon Pakatan Harapan yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Johor akan diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH, kata Lim Guan Eng.- Gambar fail BERNAMA
Calon Pakatan Harapan yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Johor akan diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH, kata Lim Guan Eng.
Menurut Setiausaha Agung DAP itu, kerusi Parlimen berkenaan merupakan milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan sebarang keputusan mengenainya biarlah dibuat oleh pucuk pimpinan parti itu.
Bagaimanapun, jelas Menteri Kewangan itu lagi, PRK Tanjung Piai adalah satu bentuk usahasama antara semua parti komponen PH.
"Ini (PRK Tanjung Piai) akan dibincang dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan kerana ini kerusi Bersatu... lebih baik dibincang dan ini akan dianggap sebagai usahasama semua parti komponen PH," ketika ditanya mengenai persediaan PH menghadapi PRK Tanjung Piai.
Beliau sebelum itu merasmikan tiga perkhidmatan baharu bagi rawatan kanser di Mount Miriam Cancer Hospital, Tanjung Bungah, di sini pada Sabtu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas berkaitan urusan PRK Tanjung Piai, Selasa ini, susulan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 43.
Dr Md Farid yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, meninggal dunia di Hospital Pontian, Johor, kira-kira jam 6 pagi 21 September lalu akibat komplikasi jantung.
Allahyarham yang juga Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Tanjung Piai memenangi kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan majoriti 524 undi selepas menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS).
Kerusi Parlimen Tanjung Piai dengan 53,528 pengundi berdaftar pada PRU-14, memiliki komposisi kaum terdiri daripada 56.8 peratus Melayu, 41.64 peratus Cina, 1.01 peratus India dan lain-lain 0.55 peratus.
BACA: Ahli Parlimen Tanjung Piai meninggal dunia
#Johor #Lim Guan Eng #Majlis Presiden #Md Farid Md Rafik #meninggal dunia #Pakatan Harapan #Parlimen #PRK #Tanjung Piai
;