PRK Tanjung Piai: Calon diumum selepas kajian bersama komponen BN - Ahmad Zahid
Wan Syamsul Amly
Oktober 3, 2019 17:30 MYT
Oktober 3, 2019 17:30 MYT
Calon Barisan Nasional (BN) untuk PRK Tanjung Piai akan diumumkan selepas kajian terperinci dibuat bersama parti komponen.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perbincangan sudah diadakan dengan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan nama calon akan diumum dalam waktu terdekat.
“Untuk Tanjung Piai kita akan bertanding dan perbincangan serta kajian-kajian terperinci sedang dilakukan dan kita hanya akan membuat pengumuman calon yang akan mewakili BN selepas semua kajian dan urusan dimuktamadkan,” katanya semasa sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn, pada Khamis.
Pada Selasa, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan berkata, penamaan calon telah ditetapkan pada 2 November, manakala hari pengundian ialah pada 16 November.
PRK Tanjung Piai merupakan yang kesembilan sejak Pilihan Raya Umum 2018 dan ia diadakan susulan kematian penyandangnya Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri di Hospital Pontian pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.
Allahyarham yang juga Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tanjung Piai, memenangi kerusi itu pada PRU14 dengan majoriti 524 undi selepas menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS).