PRK Sungai Kandis: Calon BN yakin ada kelebihan tersendiri beri saingan

Bernama
Julai 26, 2018 19:45 MYT
Lokman Noor berkata, IDE sebagai institusi di bawah kerajaan Pakatan Harapan Selangor sudah pastinya akan menghasilkan kajian yang berpihak kepada mereka dan tidak menggambarkan dapatan sebenar di peringkat akar umbi. - Gambar fail
Calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam tidak menganggap isu dirinya bukan anak tempatan sebagai beban sebaliknya percaya memiliki kelebihan tersendiri yang mampu memberikan saingan kepada calon pihak lawan.
Beliau berkata ini kerana senario politik sebelum ini membuktikan bahawa kerajaan sedia ada juga sudah lama mengamalkan budaya calon luar dalam pilihan raya umum (PRU) ataupun PRK.
"Daripada segi realiti dan hakikat, kerusi Parlimen Kota Raja yang memiliki DUN Sungai Kandis dimenangi oleh (Presiden parti Amanah) Mohamad Sabu yang dikenali dengan sikap pindah-randah dengan majoriti lebih 70,000 undi pada PRU14, 9 Mei lepas.
"Beliau sudah pasti bukan anak tempatan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Lokman Noor berkata demikian ketika ditanya mengenai hasil kaji selidik yang dijalankan Institut Darul Ehsan (IDE) yang menunjukkan anak tempatan dan tokoh agama merupakan antara kriteria wakil rakyat yang dimahukan oleh pengundi di DUN Sungai Kandis.
Kluster Penyelidikan IDE dalam satu kenyataan hari ini berkata, kaji selidik bertajuk 'Survei Persepsi Rakyat untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) N49 DUN Sungai Kandis' itu menunjukkan bahawa 35 peratus daripada pengundi mengharapkan calon berkenaan adalah anak tempatan dan 13 peratus meletakkan tokoh agama.
Sementara 48 peratus lagi inginkan calon tersebut setanding dengan wakil rakyat terdahulu.
Lokman Noor berkata IDE adalah sebuah institusi di bawah kerajaan Pakatan Harapan Selangor dan sudah pastinya hasil kajian akan berpihak kepada mereka dan tidak menggambarkan dapatan sebenar di peringkat akar umbi.
PRK DUN Sungai Kandis yang merupakan PRK pertama selepas pilihan raya umum ke-14, 9 Mei lepas, diadakan berikutan kematian penyandangnya Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.
Dalam PRK itu 4 Ogos ini, Lokman Noor ditentang calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan calon Bebas, K. Murthy.
-- BERNAMA
#akar umbi #anak tempatan #Barisan Nasional #calon #Dun Sungai Kandis #IDE #kaji selidik #Kluster Penyelidikan #Lokman Noor Adam #Mohamad Sabu #Pakatan Harapan #pilihan raya kecil #PKR #PRK #sungai kandis #Tokoh agama #wakil rakyat
;