PRK Sungai Bakap: Warga emas bersemangat turun undi, bangun 4.30 pagi
Sinar Harian
Julai 6, 2024 08:30 MYT
Julai 6, 2024 08:30 MYT
SUNGAI BAKAP: Seorang pengundi warga emas bersemangat bangun tidur pada jam 4.30 pagi semata-mata mahu menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.
Hashimah Ahmad, 74, antara orang pertama sampai di Pusat Pengundian Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Duri kira-kira jam 7.30 pagi Sabtu.
Menurutnya, walaupun hanya mengambil masa kira-kira 15 minit untuk sampai ke pusat pengundian, dia yang hadir bersama anak, keluar lebih awal bagi mengelak kesesakan.
"Mai awal sebab nak undi awal, kalau mai lambat 'parking' takdak, semangat tak mau lepas peluang undi... saya bangun awal 4.30 pagi ini selesai cuci kain, dah siap sidai dah.
"Kena mai awal takut kalau hujan tergendala pula," katanya.
Hashimah turut mengambil peluang menasihati golongan muda yang layak mengundi agar tidak melepaskan peluang menunaikan tanggungjawab tersebut sebagai penduduk di Sungai Bakap.
PRK Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandang, Nor Zamri Latiff yang meninggal dunia pada 24 Mei lalu.
Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 6 Julai sebagai tarikh pengundian PRK Sungai Bakap.
Dua calon bertanding dalam PRK Sungai Bakap iaitu wakil Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin dan Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail. - Sinar Harian