PRK Sungai Bakap: Salah tetap salah, jangan 'main kotor' - Rasuah Busters
Kenyataan Media
Jun 19, 2024 09:30 MYT
Jun 19, 2024 09:30 MYT
SUSULAN pengumuman-pengumuman sumbangan RM290,000 kepada sembilan masjid dan 20 surau yang berada di kawasan DUN Sungai Bakap dan sejumlah RM17,751,284 peruntukan untuk projek pembinaan balai bomba, penaiktarafan pasar Bukit Panchor dan sumbangan rumah ibadah bukan Islam oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming di Pulau Pinang baru-baru ini #RasuahBusters dengan tegas berpandangan bahawa:
1) Ia menyalahi mandat dan kepercayaan rakyat dan jelas ia mempunyai elemen sogokan dan rasuah.
2) Apa saja bentuk janji dan pemberian menjelang pilihan raya bukan saja menimbulkan tafsiran dan persepsi negatif rakyat bahkan ia adalah ancaman besar yang mampu menggugat sistem demokrasi di negara ini.
3) Tindakan sedemikian memberi gambaran hipokrasi yang tidak mencerminkan aspirasi dan komitmen sebuah negara yang sedang berusaha memerangi rasuah dan ia adalah langkah terkebelakang bagi pemulihan tadbir urus serta struktur integriti negara.
4) Persepsi sebegini mencemar segala usaha kerajaan memerangi rasuah.
5) Keadilan dalam pilihan raya tidak harus dinodai amalan lapuk membeli undi rakyat dengan menaburkan habuan; yang mana sumber kerajaan tersebut harus diagih secara adil kepada yang berhak tanpa mengira masa dan tempat.
6) Kerajaan perlu sentiasa berhati-hati dengan tatakelola penggunaan sumbernya semasa tempoh sensitif sekitar mana-mana pilihan raya. Fungsi biasa harus diteruskan tetapi sebarang tindak-tanduk yang jelas akan mempengaruhi pilihan raya hendaklah dihentikan serta merta.
7) Di #RasuahBusters, fokus kami adalah pada apa yang betul, bukan siapa yang berkuasa. Sumbangan sebegini adalah salah, dan kami akan tetap berpegang pada pendirian ini walau gabungan mana pun yang menerajui kepimpinan negara.
Tidak kira siapa yang berkuasa; betul tetap betul, SALAH TETAP SALAH!