PRK Sungai Bakap: Proses penamaan calon bermula 9 pagi
Astro Awani
Jun 21, 2024 07:40 MYT
Jun 21, 2024 07:40 MYT
KUALA LUMPUR: Proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap bermula jam 9 pagi.
Namun, keadaan cuaca diramal hujan pagi ini, seperti yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi (METMalaysia) semalam.
METMalaysia dalam hantaran di laman Facebook mengingatkan mereka yang terlibat dengan proses penamaan calon hari ini agar merancang perjalanan mereka dengan sebaiknya.
Proses penamaan calon PRK Sungai Bakap di Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi, Nibong Tebal akan berlangsung selama satu jam dari jam 9 hingga 10 pagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai ini sebagai hari pengundian bagi PRK DUN Sungai Bakap, manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing hari ini dan 2 Julai.
PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas.