PRK Sungai Bakap: Polis jamin siasat kes gangguan seksual terhadap wartawan - Saifuddin

Dewi Nur Harasha Alias
Julai 4, 2024 16:48 MYT
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan akan dijalankan secara profesional mengikut lunas undang- undang sedia ada. - Gambar fail
NIBONG TEBAL: Polis memberi jaminan akan menjalankan siasatan berhubung petugas kempen Pakatan Harapan (PH) didakwa melakukan gangguan seksual terhadap seorang wartawan wanita semasa program di Sungai Kechil, Sungai Bakap, Pulau Pinang malam tadi.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan akan dijalankan secara profesional mengikut lunas undang- undang sedia ada.
"Berita itu (gangguan seksual) pertama kali saya dengar... mungkin sebab saya sibuk kempen. Tapi jika laporan (polis) sudah dibuat, saya nak beri jaminan bahawa ia sepenuhnya di bawah autoriti pasukan polis.
"Gunalah peruntukan undang-undang yang ada... buatlah siasatan secara professional ikut jalur undang-undang. Itu saya boleh sebut," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama Perpaduan di Sungai Bakap, pada Khamis.
Terdahulu, seorang wartawan wanita sebuah rangkaian televisyen tempatan membuat laporan polis berhubung insiden seorang lelaki yang didakwa petugas kempen PH berkelakuan tidak senonoh.
Kejadian didakwa berlaku ketika pihak media sedang menemu ramah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang hadir majlis perjumpaan pemimpin di Dewan Sungai Kechil.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superintendan Chong Boo Khim mengesahkan pihaknya menerima laporan tersebut.
Difahamkan, siasatan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana gangguan seksual dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
#PRK Sungai Bakap #gangguan seksual #petugas media #Saifuddin Nasution
;