PRK Sungai Bakap: Pengundi muda teruja tunai tanggungjawab kali pertama
Bernama
Julai 6, 2024 11:10 MYT
Julai 6, 2024 11:10 MYT
NIBONG TEBAL: Keterujaan jelas terpancar di wajah pengundi berdaftar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap yang buat kali pertama mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu hari ini.
Tinjauan Bernama di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Boon Beng dekat Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat di sini mendapati ramai dalam kalangan pengundi muda datang awal kerana enggan melepaskan peluang memangkah calon buat kali pertama.
Pelajar Tingkatan Enam Siti Nur Azwani Azman, 19, memberitahu dia bersiap seawal 7 pagi untuk ke pusat mengundi.
"Memang teruja sebab kali pertama nak mengundi. Dari hari pertama bila tahu ada pilihan raya DUN Sungai Bakap, saya tak sabar menanti tibanya hari pengundian.
"Sebagai pengundi muda, saya berharap agar pemimpin yang dipilih nanti dapat memberikan komitmen sepenuhnya terhadap amanah yang dipertanggungjawabkan kepada rakyat Sungai Bakap," katanya yang datang seorang diri di pusat pengundian itu hari ini.
Sementara itu, dua sahabat Danial Afham Mohd Rizuan dan Mohd Alif Iqbal Mohd Sopain masing-masing berusia 19 tahun datang bersama menaiki motosikal ke pusat mengundi pagi ini.
Danial Afham berkata walau dalam keadaan apa sekali pun sebagai rakyat Malaysia menjadi tanggungjawab terutama buat anak muda sepertinya untuk keluar mengundi.
Meskipun sedikit berdebar pada awalnya namun pelajar Kolej Vokasional Seberang Perai itu lega segala proses berjalan lancar dan berterima kasih kepada pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang membantu memudahkan urusannya pagi ini.
"Saya keluar hari ini atas rasa tanggungjawab sebab rugi kalau orang lain mengundi tapi kita tidak. Lagi-lagi saya ini baru kali pertama hendak memangkah calon wakil rakyat.
"Bahagian saya sebagai pengundi sudah selesai. Siapa pun yang bakal dipilih nanti saya harap dapatlah bekerja sebaiknya dan lihat juga masalah jalan-jalan berlubang di sini yang memerlukan perhatian kerana ia berbahaya kepada penunggang motosikal seperti saya," katanya.
Mohd Alif Iqbal Mohd Sopain berkata dia dan Danial Afham memang merancang datang sekali memandangkan rakan-rakan mereka yang lain mengundi di lokasi berbeza.
"Ayah pun suruh saya datang (mengundi) sebab penting demi masa depan negara. Harapnya wakil rakyat nanti dapat (laksana) kerja elok-elok," katanya.
Proses pengundian hari ini melibatkan 39,151 pengundi yang akan menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih wakil rakyat baharu kawasan itu.
PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.
Pada Pilihan Raya Negeri Ogos tahun lepas Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.
-- BERNAMA