PRK Sungai Bakap: Joohari yakin sokongan pengundi di kawasan 'hitam'
Dewi Nur Harasha Alias
Julai 6, 2024 11:40 MYT
Julai 6, 2024 11:40 MYT
NIBONG TEBAL: Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Joohari Ariffin yakin dapat meraih kepercayaan pengundi terutamanya di kawasan Sungai Duri dan tidak pernah merasa terasing berada di situ.
Katanya, walaupun dilabel sebagai kawasan “hitam” buat PH, namun ia tidak mengurangkan keyakinannya untuk merampas kerusi yang dimenangi Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.
“Saya rasa ini tempat saya, saya tidak terasa asing pun malah saya tengok ramai pegawai-pegawai pun saya kenal, mana-mana pihak pun saya kenal jadi, Alhamdulillah mungkin itu satu kelebihan buat saya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap lebih ramai pengundi dapat keluar awal menunaikan tanggungjawab mereka hari ini memandangkan cuaca di sebelah pagi adalah baik.
“Alhamdulillah pagi ini cuaca baik dan cerah di pusat mengundi ini. Saya nampak pengundi sudah ramai, kotak-kotak undi pun sudah separuh.
"Saya ucapkan terima kasih pada pengundi yang dapat keluar awal hari ini. Saya tengok hampir semua saluran seimbang daripada jumlah pengundi dan berharap ia akan berterusan sampai ke petang,” katanya ketika mengadakan lawatan di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Sungai Duri, hari ini.
Menurutnya, proses mengundi setakat ini berjalan lancar dan tiada sebarang aduan diterima oleh pegawai pusat mengundi.
“Saya tanya pegawai Ketua Pusat mengundi berjalan lancar Alhamdulillah, kita yakin bahawa pengundi sangat bijak untuk memilih termasuk pengundi muda. Saya dapati kotak undi sama juga, pengundi muda pun bersemangat keluar mengundi awal pagi,” ujarnya lagi.
Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan seramai 39,151 pemilih berdaftar akan melaksanakan tanggungjawab mengundi pada PRK bagi memilih wakil rakyat DUN Sungai Bakap.
Sebanyak sembilan pusat pengundian yang mengandungi 65 tempat mengundi atau saluran dijadual dibuka serentak bermula jam 8 pagi dan ditutup jam 6 petang.
PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Joohari Ariffin dan bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).