PRK Sungai Bakap: 16.74 peratus sudah mengundi setakat 10 pagi

Bernama
Julai 6, 2024 11:10 MYT
Kesemua sembilan pusat mengundi melibatkan 65 saluran dibuka serentak pada 8 pagi tadi untuk memberi ruang kepada 39,151 pengundi berdaftar melaksanakan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu kawasan itu hari ini. -Bernama
NIBONG TEBAL: Sebanyak 16.74 peratus pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap telah menunaikan tanggungjawab mereka setakat 10 pagi ini, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Kesemua sembilan pusat mengundi melibatkan 65 saluran dibuka serentak pada 8 pagi tadi untuk memberi ruang kepada 39,151 pengundi berdaftar melaksanakan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu kawasan itu hari ini.
Pusat pengundian berkenaan ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Boon Beng, SMK Bandar Tasek Mutiara, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Tasek, SK Sungai Duri, SMK Tun Syed Sheh Barakbah, SK Sungai Bakap, SK Jawi dan SK Sungai Kechil.
Kesemua pusat mengundi berkenaan akan ditutup pada 6 petang ini, sebelum proses penjumlahan undi berlangsung di Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi di sini.
Secara keseluruhan, 39,279 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 57 anggota polis, namun PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan tiada pusat mengundi awal dibuka walaupun tarikhnya ditetapkan pada 2 Julai lepas, setelah SPR mengeluarkan 128 kertas undi kepada yang berhak mengundi secara pos.
PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin dengan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.
-- BERNAMA
#PRK Sungai Bakap #Suruhanjaya Pilihan Raya #pilihan raya kecil #peratus keluar mengundi
;