PRK Slim: Utamakan ketelitian aspek kesihatan, kebersihan
Madiha Abdullah
Ogos 13, 2020 19:52 MYT
Ogos 13, 2020 19:52 MYT
Aspek keselamatan dan kebersihan perlu sentiasa dititikberatkan oleh semua pihak sepanjang kempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim.
Biarpun prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilihat komprehensif, langkah berjaga-jaga masih perlu diambil bagi memastikan risiko jangkitan dan penularan COVID-19 dapat diminimumkan.
Pakar epidemiologi, Prof Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud, berkata, sebagai contoh, kempen yang dilakukan dari ke rumah ke rumah masih perlu diberi perhatian dan pemantauan.
"Sewaktu PRK Chini, perhimpunan besar tidak dibenarkan, hanya kempen rumah ke rumah yang dibolehkan. Ini juga menimbulkan kerisauan kerana bukan sahaja orang terbabit yang berpotensi menjadi pembawa virus tetapi juga material yang mereka bawa seperti pamplet, kertas dan sebagainya. Jika tidak dilihat dengan teliti takut material ini pula menjadi bawaan virus.
"Di Chini dan Slim, kedua-duanya adalah PRK dan bukan PRU, yang kebiasaannya memerlukan banyak pergerakan. Jadi salah satu langkah yang boleh diambil ialah mengurangkan pergerakan semaksimum mungkin," katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu Buletin AWANI, pada Khamis.
Tambah Dr Awang Bulgiba, tidak banyak alternatif yang boleh dilakukan dalam membantu calon-calon berkempen, namun bagi proses pengundian, peluasan undi pos dan pelanjutan masa mengundi adalah antara inisiatif yang boleh difikirkan untuk diaplikasikan.
"Mungkin boleh dilanjutkan masa mengundi sehingga malam, jadi pengundi tidak perlu berpusu-pusu pada waktu yang sama serentak. Saya difahamkan ini juga yang dilaksanakan Singapura pada pilihan raya umum mereka yang lalu.
"Pelaksanaan undi pos juga boleh diperluas, jadi pengundi luar kawasan ada pilihan dan tidak perlu pulang untuk membuang undi," ujarnya.
PRK DUN Slim akan berlangsung 29 Ogos ini susulan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, pada 15 Julai lalu.
#Awang Bulgiba Awang Mahmud
#COVID-19
#koronavirus
#perhimpunan
#pilihan raya
#pilihan raya kecil
#PRK Slim
#Slim
#SOP