PRK Sg Limau: 17 pusat mengundi dibuka 8 pagi ini
Bernama
November 4, 2013 08:55 MYT
November 4, 2013 08:55 MYT
Sebanyak 17 pusat mengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau dibuka bermula pukul 8 pagi ini bagi membolehkan 27,222 pemilih berdaftar melaksanakan tanggungjawab mereka dalam pilihan raya kecil DUN itu.
Pusat-pusat mengundi itu ialah SK Permatang Buloh; SK Sungai Dedap; SM Agama Nahdzah; SK Bukit Besar; SK Simpang Tiga Sungai Daun; SJKC Aik Min; SK Haji Kassim Jasin; SK Sungai Daun Tengah; SK Sungai Limau; SMK Sungai Limau; SK Sungai Kering; SK Ulu Sedaka; SMK Batu 17, Padang Lumat; SK Padang Lumat; SJKC Pei Hwa Batu 17, Gurun; SK Dulang dan SMK Dulang.
Semua pusat pengundian akan ditutup pada 5 petang ini dan pengiraan undi dijangka bermula 6 petang di pusat penjumlahan undi di Dewan Lukman Al-Hakim, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan di sini.
Pilihan raya kecil ini menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional (BN) Dr Ahmad Sohaimi Lazim dan calon PAS Mohd Azam Abdul Samat.
Kerusi DUN Sungai Limau kosong berikutan kematian Tan Sri Azizan Abdul Razak yang merupakan wakil rakyat kawasan itu sejak 1995.
Dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13) Mei lepas, Azizan menang dengan majoriti 2,774 undi dalam pertandingan empat penjuru.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh dilapor berkata lebih 90 peratus pengundi dijangka keluar mengundi hari ini, berbanding 89 peratus pada PRU13.
Beliau berkata kadar peratusan yang positif itu berdasarkan kepada semangat yang dilihat sepanjang tempoh berkempen yang berkonsepkan kekeluargaan.
SPR juga menjangkakan keputusan pilihan raya kecil itu dapat diketahui selewat-lewatnya 10 malam ini.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan tiada hujan di sebelah pagi namun ribut petir dijangka berlaku pada sebelah petang.