PRK Sg Bakap: Polis puas hati proses pengundian lancar

Bernama
Julai 6, 2024 19:47 MYT
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata secara keseluruhannya, proses pengundian yang bermula 8 pagi dan berakhir 6 petang itu berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini. - Foto BERNAMA
NIBONG TEBAL: Polis berpuas hati dengan perjalanan proses mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap hari ini.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata secara keseluruhannya, proses pengundian yang bermula 8 pagi dan berakhir 6 petang itu berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini.
"Setakat ini tiada laporan polis oleh mana-mana pihak sama ada individu atau parti berhubung sebarang salah laku ketika proses pengundian atau berkaitan pilihan raya itu.
"Kami berpuas hati dengan perjalanan proses pengundian hari ini dan juga tempoh berkempen sejak 22 Jun hingga malam tadi dengan tiada kejadian tidak diingini berlaku," katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata sebanyak 800 pegawai dan anggota polis bertugas sepanjang pengundian hari ini dan mereka akan meneruskan pemantauan bagi menjaga keselamatan sehingga tamat proses penjumlahan undi di Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi di sini.
Terdahulu proses pengundian yang melibatkan 39,151 pengundi berdaftar berlangsung dalam keadaan cuaca baik di sembilan pusat mengundi dengan 65 saluran.
Hamzah sekali lagi menasihati penyokong parti politik agar tidak membuat perarakan meraikan kemenangan atau melakukan sebarang provokasi menjelang pengumuman keputusan PRK DUN Sungai Bakap malam ini.
Beliau berkata sebarang perhimpunan atau perarakan di mana-mana lokasi selepas penjumlahan rasmi undi dan pengumuman keputusan pilihan raya adalah tidak dibenarkan sama sekali.
"Kepada pemenang pula jangan buat sambutan luar biasa, perarakan tidak dibenarkan dan raikan kemenangan secara berhemah, ikut tatatertib di bawah peraturan ditetapkan oleh pihak berkuasa," katanya.
PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.
-- BERNAMA
#PRK Sg Bakap #Sungai Bakap #pengundian lancar #polis pulau pinang
;