PRK Sg Bakap: 102 permit diluluskan kepada dua parti bertanding

Bernama
Julai 1, 2024 20:45 MYT
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon bertanding 22 Jun lepas hingga 11.59 malam, 5 Julai. - Gambar hiasan/BERNAMA
NIBONG TEBAL: Sebanyak 102 permit bagi tujuan kempen bergerak, ceramah dan tinjauan mesra diluluskan kepada dua parti bertanding, Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN), sejak tempoh berkempen untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap bermula 22 Jun lepas hingga hari ini.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata sebanyak 21 permit diluluskan untuk kempen PRK berkenaan yang memasuki hari kesepuluh hari ini dan tiada permohonan permit daripada kedua-dua parti yang ditolak setakat ini.
"Suka saya terus menasihatkan semua orang agar tidak menimbulkan sebarang provokasi kepada mana-mana pihak semasa berkempen, termasuk khianat atau merosakkan bahan kempen pilihan raya sehingga tamat berkempen yang berbaki lima hari lagi," katanya dalam kenyataan hari ini.
PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PH Dr Joohari Ariffin dan calon PN Abidin Ismail yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon bertanding 22 Jun lepas hingga 11.59 malam, 5 Julai.
-- BERNAMA
#PRK Sg Bakap #permit diluluskan #parti bertanding #Sungai Bakap
;