PRK Semenyih: BN ada calon PhD lengkap, tetapi Zakaria paling sesuai - Mohamad

Arfa Yunus, Firdaus Azil
Februari 16, 2019 13:58 MYT
Zakaria akan berjumpa seramai mungkin pengundi Semenyih bagi mendengar isi hati mereka dan memberi keyakinan, BN adalah pilihan terbaik, walaupun bukan dari kerajaan memerintah. - Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Terdapat beberapa nama yang telah dipertimbangkan untuk menjadi calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.
Mereka termasuk calon yang mempunyai ijazah Doktor Falsafah (PhD) yang lengkap, bukannya ‘separuh jalan’, kata Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan.
Bagaimanapun, katanya, memandangkan jangkaan masyarakat terhadap wakil rakyat berbeza antara kawasan DUN dan kawasan Parlimen, atas dasar itu, Zakaria Hanafi dipilih sebagai calon.
Timbalan Presiden UMNO itu berkata, bagi mewakili DUN, seseorang calon perlu meletakkan keutamaan kepada keupayaan bercampur dengan masyarakat dan memahami isu dan permasalahan setempat.
Tambahnya, Zakaria calon BN paling sesuai dalam usaha merampas kembali kerusi itu dari tangan Pakatan Harapan (PH), yang diwakili Bendahari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bahagian Hulu Langat, Muhammad Aiman Zainali.
"Kita bukan tidak ada calon yang ada PhD - PhD yang lengkap, bukan tak habis atau sekerat jalan. PhD yang lengkap, dalam bidang agama, kita ada ramai.
"Tetapi, kita pilih calon yang sesuai. Kerana, di DUN, wakil rakyatnya mesti bersama dengan masyarakat, yang boleh kutip isu dan menyelesaikan masalah rakyat.
"Kalau di Parlimen, berbeza. Sebab, Parlimen membahaskan rang undang-undang, jadi, dia (wakil rakyat) mesti mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing dan mewakili etnik masing-masing.
"Di DUN tidak perlu menggubal undang-undang, cuma kita mesti jadi wakil rakyat yang sesuai,” kata Mohamad.
Zakaria, 58 tahun, Pengerusi Tetap UMNO Cawangan Kampung Sesapan Kelubi, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Pembangunan (Kepujian) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Mengulas mengenai gerak kerja PRK Semenyih, beliau yang lebih mesra dikenali sebagai Tok Mat berkata, Zakaria akan berjumpa seramai mungkin pengundi di Semenyih bagi mendengar isi hati mereka dan memberi keyakinan BN adalah pilihan terbaik, walaupun bukan dari kerajaan memerintah.
"Beliau akan berjumpa seramai mungkin orang di pasar malam, jumpa ibu bapa. Yang penting, kita mahu calon yang kita letakkan ini calon masyarakat, bukan calon roket saintis yang tak kenal orang, tak mahu campur, kekok dengan orang.
"Dan calon ini memang dekat dengan masyarakat. Pergi ke Beranang, Semenyih semua orang kenal,” katanya lagi.
Selain itu, Tok Mat berkata, BN wajar diberi peluang bagi memastikan proses semak dan imbang terhadap kerajaan memerintah di Selangor.
Katanya, dengan kerjasama berterusan bersama Pas selepas kejayaan di Cameron Highlands, agenda perpaduan ummah juga dapat diperkasakan, dalam membela nasib Melayu dan Islam, yang merupakan 69.2 peratus di DUN Semenyih ini.
#Barisan Nasional #calon #Mohamad Hasan #Pakatan Harapan #Semenyih #semenyih memilih #UMNO #Zakaria Hanafi
;