PRK Sandakan: Vivian Wong dedikasi kemenangan besar kepada mendiang bapa

Ruzaini Zulkepli
Mei 11, 2019 23:07 MYT
Lim (tiga, kiri) bersama Vivian (tiga, kanan) mengangkat tangan tanda gembira selepas SPR mengumumkan kemenangan calon DAP tersebut di Pusat Penjumlahan Undi di SMJK Tiong Hua malam ini. --fotoBERNAMA
Perkara pertama yang akan dilakukan selepas bergelar Yang Berhormat (YB) adalah melawat pusara bapa.
Demikian disuarakan wakil rakyat baharu, Vivian Wong Shir Yee dari DAP, yang memenangi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen P186 Sandakan hari ini.
Mengulas kemenangan besarnya, mengatasi jumlah undi diperolehi mendiang bapanya pada pilihan raya umum ke-14 (PRU) Mei tahun lalu, Vivian, 30 tahun, mengakui kemenangannya dibantu pengaruh bapanya, Datuk Stephen Wong, yang meninggal dunia 28 Mac lalu.
Vivian yang memperoleh 16,012 undi, menang dengan majoriti 11,521 undi menewaskan empat pencabarnya, calon Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Linda Tsen Thau Lin, 63 tahun, dan tiga calon bebas - Hamzah Abdullah, 65 tahun, Chia Siew Yung, 46 tahun, dan Sulaiman Samat, 36 tahun.
Beliau yang gagal menahan sebak, mengenang jasa mendiang bapanya dalam membentuk jati dirinya sebagai seorang yang berjiwa politik dan mencapai cita-cita sebagai pemimpin berjiwa rakyat.
"Perkara pertama yang saya akan lakukan, saya akan melawat pusara bapa esok dan ingin mengucapkan terima kasih tidak terhingga.
"Kemenangan pada hari ini bukanlah kerana saya sahaja, tetapi kerana bapa, kerana saya percaya penyokong beliau turut menyokong saya," katanya.
Vivian berkata demikian pada sidang media selepas diumumkan pemenang oleh Pegawai Pengurus PRK Sandakan Mohd Hamsan Awang Supain, di Dewan Aktiviti SMJK Tiong Hua, di sini, malam ini.
Tsen yang juga Ketua Bahagian PBS Elopura mendapat 4,491 undi manakala Hamzah (788 undi), Chia (178 undi) dan Sulaiman (126 undi).
"Ribuan terima kasih kepada semua rakyat di Sandakan kerana percaya akan saya berkhidmat untuk rakyat dan mengundi saya sebagai Ahli Parlimen Sandakan.
"Selain itu, ribuan terima kasih kepada menteri-menteri dari Persekutuan dan juga Sabah yang menolong saya berkempen.
"Saya yakin walaupun kempen sudah habis, mereka tetap akan menolong saya dalam masa empat tahun ini untuk berkhidmat kepada rakyat di Sandakan," katanya.
Sementara itu, pada sidang media yang sama, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyifatkan kemenangan Vivian hasil kerjasama rapat antara Pakatan Harapan (PH) dan Parti Warisan Sabah (Warisan).
"Ini adalah hadiah untuk ulang tahun pertama kemenangan PH dan Warisan di Sabah dan di Malaysia.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada rakyat Sandakan atas hadiah ini dan kita akan ingat selama-lamanya," katanya sambil menambah beliau telah memaklumkan keputusan PRK tersebut kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Beliau amat gembira. Kita menggangap kemenangan ini sebagai satu suntikan semangat untuk kita bekerja lebih keras lagi.
"Meskipun pihak lawan akan teruskan memfitnah, kita akan terus lawan. Lawan ikut saluran undang-undang, demi rakyat Malaysia," kata Lim.
#DAP #Lim Guan Eng #Pakatan Harapan #pengaruh bapa #pilihan raya kecil #Sandakan #Stephen Wong #Vivian Wong Shir Yee
;