PRK Sandakan: Tujuh kali kalah, Hamzah tetap tidak serik

Ridzal Abdullah, Radhi Muslim
Mei 11, 2019 21:47 MYT
Hamzah sudah berkecimpung dalam arena politik sejak 36 tahun lalu dan merupakan bekas Pengerusi Amanah Sabah. - Gambar fail
Calon bebas Hamzah Abdullah akan terus berjuang walaupun tewas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) P186 Sandakan, hari ini, untuk kali yang ketujuh.
Menurutnya, dia tidak akan berputus asa hanya kerana kerana tewas dalam PRK ini.
"Saya akan terus bersama rakyat, bawa isu-isu rakyat, sama ada disalurkan melalui media sosial, media cetak, televisyen dan seumpamanya.
"Saya tidak akan putus asa dalam perjuangan. Selagi hayat dikandung badan, selama itulah saya akan terus membela rakyat.
"Sebab, telah lebih 30 tahun saya bersama-sama mereka, takkanlah saya nak tinggalkan rakyat," katanya ketika ditemui Astro AWANI.
Hamzah, yang bertanding sebagai calon bebas untuk kali ketujuh pada pilihan raya kali ini, hilang wang deposit selepas hanya mendapat 788 undi.
Dia sudah berkecimpung dalam arena politik sejak 36 tahun lalu dan merupakan bekas Pengerusi Amanah Sabah.
#Amanah #calon Bebas #Hamzah Abdullah #pilihan raya kecil #PRK Sandakan #putus asa #Sabah #Sandakan #serik #tujuh kali
;