PRK Sandakan: 270 anggota polis akan mengundi awal esok
Bernama
Mei 6, 2019 10:14 MYT
Mei 6, 2019 10:14 MYT
Seramai 270 pengundi awal terdiri daripada anggota polis akan mengundi awal esok bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, anggota polis berkenaan akan mengundi di Mes Pegawai Kanan Pasukan Polis Marin Sandakan dan Rumah Kelab Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan.
Katanya, Pusat Pengundian Awal di Mes Pegawai Kanan Pasukan Polis Marin Sandakan dibuka mulai 8 pagi hingga 2 petang.
Menurutnya, bagi Pusat Mengundi di Rumah Kelab IPD Sandakan waktu pengundian dibuka dari pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari.
Proses pengundian awal ini akan disaksikan oleh setiap ejen calon serta Pemerhati Pilihan Raya yang terdiri daripada wakil organisasi dan pertubuhan bukan kerajaan yang telah dilantik oleh SPR, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Azhar berkata di samping itu, SPR akan menyiarkan proses pengundian ini secara 'live streaming' atau langsung menerusi Facebook SPR.
Katanya semua peti undi bagi pengundian awal akan disimpan di lokap balai polis dan pengiraannya akan dibuat pada hari pengundian Sabtu ini di pusat pengiraan undi berkelompok di Dewan Aktiviti Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tiong Hua Sandakan.
Beliau berkata proses pengiraan undi akan disaksikan oleh ejen-ejen calon yang bertanding serta pemerhati pilihan raya. -- Bernama
#Art Harun
#Azhar Azizan Harun
#pengundi awal
#PRK Sandakan
#Sandakan by election
#SPR
#Suruhanjaya Pilihan Raya