PRK Rantau: Jangan hanya beri bantuan bermusim!
Rahimah Abdullah
April 4, 2019 16:15 MYT
April 4, 2019 16:15 MYT
Aktiviti perniagaan dan penjaja adalah antara punca pendapatan utama penduduk Rantau.
Malah ribuan antara pengundi ini juga adalah penentu kepada kalah menang seseorang calon dan parti yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) itu 13 April ini.
Tinjauan Astro AWANI mendapati, antara keluhan mereka ialah kos sara hidup dan harga barangan yang tidak menentu.
Bagi Ayuni Muhammad, dia sudah berniaga sejak lima tahun lalu dan mengakui ada kalanya tidak banyak keuntungan diperoleh kerana ketidaktentuan harga barangan.
"Masalahnya, beli barang mentah pada harga tinggi. Kami nak jual tetapi pelanggan nak murah. Nak jual tu susah, agak terbeban," katanya semasa ditemui di Bandar Sri Sendayan, Rantau.
Dalam pada itu, seorang lagi peniaga, Junaidi Jamal berkata, dia berharap Kerajaan Negeri dapat menyediakan bantuan dari segi modal dan kemudahan untuk peniaga.
"Kami peniaga kecil nak minta bantuan Kerajaan Negeri dari segi modal. Mungkin tidaklah sebesar sampai RM50,000, RM10,000 pun sudah cukup," katanya.
Dalam pada itu, Yang Dipertua Persatuan Penjaja, Peniaga dan Pengusaha Kecil Negeri Sembilan, Mohamad Yusoff, mahu pihak berkaitan tidak hanya memberikan bantuan bermusim.
Ini kerana golongan peniaga sentiasa memerlukan sokongan dan bantuan dari segi kemudahan dalam menambah pendapatan keluarga.
Bagaimanapun, beliau mengakui masalah naik turun harga barang adalah satu isu nasional.
Namun, ujarnya, ia perlu ditangani Kerajaan Negeri dan pihak berwajib secara bersama.
"Harga barang kita tak boleh nak buat apa sebab ia dikawal oleh pihak lain. Namun, kerajaan boleh bantu beri modal, khemah dan sebagainya. Dari situ, peniaga boleh kurangkan kos.
"Harga barang ada kala tinggi dan rendah, tetapi kita nak kerajaan bantu peniagaan dan bukan bermusim sahaja. Kita boleh dapat kewangan kita dari TEKUN (Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga) dan sebagainya. Namun, fasiliti khemah dan payung juga mungkin kita boleh dibantu," katanya.
Ujarnya, isu melibatkan peniaga perlu diselesaikan kerana ia turut memberi impak kepada sokongan pengundi.
"Saya harap mereka dibantu sebab penjaja seluruh Negeri Sembilan ini turut menyumbang kepada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar). Kenapa penjaja diwujudkan? Untuk bangunkan ekonomi," kata Mohamad.
Tambahnya, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga perlu main peranan kerana ada PBT sedia gerai yang tidak sesuai dengan peniaga.