PRK Pulai: SPR sasar 99 peratus keluar undi awal - Abdul Ghani

Hasimi Muhamad
September 5, 2023 11:30 MYT
Abdul Ghani (kanan) bersama Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Dua Johor ACP Muhd Zailani Abdullah (kiri) ketika melawat pusat mengundi awal bagi PRK Parlimen P.161 Pulai, di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah 2 Tampoi hari ini. -- fotoBERNAMA
JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mensasarkan peratusan keluar undi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai mencecah 99 peratus.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, jangkaan tersebut berdasarkan trend keluar mengundi yang menggalakkan pada sebelah pagi di dua Pusat Mengundi Awal iaitu Balai Polis Kempas dan Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua.
Ujarnya, setakat pukul 10 pagi tadi peratusan keluar mengundi yang direkodkan adalah 34 peratus.
"Kita melihat proses pengundian berjalan lancar. Di Markas PPM ada dua saluran dan memang perjalanan (proses undi) amat cantik. Manakala, Balai Polis Kempas pula ada satu saluran.
"Kalau kita lihat dari segi kehadiran, ia amat menggalakkkan sehingga setakat ini (jam 10 pagi).
"Kita amat berharap kedua-dua pusat undi awal ini dapat mencapai peratusan yang baik, sekurang-kurangnya 99 peratus," katanya selepas meninjau keadaan di pusat undi awal Markas PPM Wilayah Dua, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Ghani berkata berdasarkan tinjauan juga, setakat ini proses pengundian berjalan tanpa sebarang masalah.
"Jam pertama (9 pagi) sudah 16 peratus (keluar mengundi), sejam kedua sudah 34 peratus. Ini prestasi yang baik.
"Pihak anggota juga memantau kehadiran anggota masing-masing untuk hadir dalam proses undi awal," tambah beliau.
Seramai 927 pegawai polis dan anggota terlibat dalam pengundian awal hari ini - 881 mengundi di Dewan Nusantara, Markas PPM Wilayah Dua, 46 di Bilik Gerakan, Balai Polis Kempas.
Bagaimanapun, tiada proses undi awal bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.
PRK Parlimen Pulai menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon Pakatan Harapan, Suhaizan Kayat, Zulkifli Jaafar (Perikatan Nasional) dan Samsudin Mohd Fauzi (Bebas).
Terkini, setakat jam 11 pagi, SPR mengumumkan, peratusan keluar mengundi bagi Undi Awal PRK Parlimen P.161 Pulai ialah 51%.
#Abdul Ghani Salleh #Suruhanjaya Pilihan Raya #peraturan keluar mengundi #PRK Parlimen Pulai #PRK Johor
;