PRK Pulai: 35 tahun anyam 'bakul rotan gajah' di JARO
Hasimi Muhamad
September 8, 2023 15:02 MYT
September 8, 2023 15:02 MYT
JOHOR BAHRU: Kalau pertama kali menjejakkan kaki di Pertubuhan Pemulihan Kawasan Negeri Johor (JARO), sudah tentu anda akan terpukau dengan sentuhan 'magis' produk kraf tangan yang dihasilkan oleh golongan orang kurang upaya (OKU).
Antara produk yang dihasilkan ialah beg rotan bercorak batik, bakul, perabot, cenderamata serta banyak lagi dengan kualiti yang cukup tinggi.
Semuanya digubah dengan penuh cermat dan teliti, dan banyak produk yang menanti pelanggan turut berpotensi untuk meningkatkan kemahiran OKU.
Bukan itu sahaja, penghasilan barangan kraf tangan di pusat berkenaan yang terletak di Jalan Sungai Chat di sini mampu menjana pendapatan mereka.
Bagi Jailani Mohd, 60, yang sudah 35 tahun berkhidmat di JARO sejak pertama kali diperkenalkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sekitar tahun 1988, kekurangan fizikal dirinya tidak mematahkan semangat lelaki itu untuk berdikari dan menimba kemahiran.
Dia mengalami masalah lemah anggota badan dari paras pinggang dan kedua-dua belah kaki akibat terjatuh ketika berusia tiga tahun.
Jailani kini antara yang terlatih dalam penghasilan kraf tangan rotan termasuk produk yang paling mencabar iaitu anyaman 'bakul rotan gajah'.
"Kalau betul-betul fokus dalam lima hari boleh siap bakul ini kerana bentuk gajah susah sikit ... banyak kerja, nak buat telinga, gading, belalai dan badan.
"Bagi bakul rotan gajah, proses pertama kita buat kepala dulu, dan baru buat badan (ambil masa tiga hari) dan kemudian telinga dan gadingnya," kongsi Jailani kepada Astro AWANI, baru-baru ini.
Menurut Jailani, gubahan anyaman bakul gajah antara paling popular dalam kalangan pelancong dalam dan luar negara, termasuk Singapura.
Berasal dari Kampung Melayu, di sini, dia mengambil masa enam bulan untuk mengasah kemahiran dan skil teknik anyaman.
Ujarnya, bagi bakul rotan gajah bersaiz 45x75 sentimeter (cm), antara bahagian paling sukar untuk disiapkan ialah belalai, dan memerlukan teknik 'kira-kira' untuk memastikan belalai dapat dibentuk dengan sempurna.
"Produk rotan ada petuanya ... kalau nak tahan sehingga 40 atau 50 tahun, setiap kali basuh, jangan jemur di bawah sinaran matahari. Kala sayang, simpah di tempat teduh.
"Kalau jemur bawah sinaran matahari, dua bulan dah reput macam 'keropok'," jelas Jailani.
Selain menimba ilmu dan kemahiran, JARO juga menjadi lokasi paling manis buat Jailani apabila dipertemukan jodoh dengan isterinya, Suhaila Abd Rahman, 59.
Dalam masa sama, Jailani berkata kumpulan OKU tidak seharusnya melihat kekurangan mereka sebagai penghalang untuk berjaya, sebaliknya mencari peluang meningkatkan kemahiran diri.
"Tempat seperti JARO ini bagus tetapi kena ada minat. Kalau dia (OKU) dia tak yakin boleh buat ... kena marah sikit dan tak datang, ini payah sikit sebab tiada minat.
"Kita mesti ada minat, walau susah sekali pun, jika ada minat pasti boleh," nasihatnya.
JARO perkasa kemahiran OKU
Sementara itu, Pengurus Besar JARO, Joseph Roy Arputham berkata pusat tersebut memberi peluang yang cukup besar untuk pelatih dalam kalangan OKU termasuk lembam, masalah penglihatan dan pendengaran, serta cacat fizikal.
Menurut beliau, latihan selama tiga bulan diberikan bagi melatih dan menyiapkan kumpulan itu menceburi bidang pekerjaan yang bersesuaian.
"Selepas habis latihan selama tiga bulan mereka boleh terus berada di JARO dan meneruskan latihan mereka dan mempelajari kemahiran-kemahiran baharu.
"... atau pun jika mereka berminat, mereka boleh mencari pekerjaan di luar. Mereka mampu menimba pengalaman pekerjaan di JARO dan bila keluar nanti senang untuk mereka adaptasi dengan dunia luar," katanya.
Mengulas lanjut, Joseph mengakui permintaan terhadap barangan berasaskan rotan semakin mengalakkan ketika ini termasuk perkhidmatan membaik pulih perabot-perabot rotan.
Selain itu, JARO ujarnya turut mendapat tempahan yang memberangsangkan dari segi penjilidan buku termasuk dari sekolah di Hong Kong.
"Penjilidan buku antara bengkel kita yang paling laris sebab kita mendapat projek-projek daripada kerajaan dan Majlis Perbandaran serta swasta untuk jilid buku, dokumen dan sebagainya.
"Kita juga dapat tempahan album gambar dan buku antograf dari luar negara kerana kualiti kita memang taraf terbaik sehingga ada pelanggan yang sudah lebih 30 tahun masih menghantar buku untuk dijilid di sini terutama dalam kalangan peguam di sekitar Johor Bahru," tambahnya.