PRK Pulai: 30 peratus pengundi bekerja di Singapura, beberapa kaunter akan dibuka

Hasimi Muhamad
September 5, 2023 11:00 MYT
Suhaizan (tengah) ketika hadir meninjau Pusat Mengundi Awal di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Dua. - Astro AWANI
JOHOR BAHRU: Beberapa kaunter tambahan dijangka dibuka di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) bagi memudahkan para pengundi yang tinggal dan berulang-alik dari Singpura menjalankan tanggungjawab dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai pada 9 September ini.
Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat berkata, usaha itu dilakukan bagi memastikan sekitar 30 peratus pengundi Parlimen berkenaan dapat pulang pada hari mengundi ini.
“Saya telah maklumkan kepada pihak berkenaan dan urusan untuk memudahkan pengundi-pengundi agar mereka tidak tersekat di (Jabatan Imigresen.
“Jadi dengan itu semua pengundi boleh balik dengan lebih selesa pada hari Jumaat.
“Lebih kurang 30 peratus sebenarnya adalah mereka yang bekerja di Singapura. Satu (kumpulan pengundi) yang tinggal di sana dan kedua, mereka tinggal di sini (Johor) tetapi berulang alik antara Johor Bahru dan Singapura,” katanya kepada media di sini pada Selasa.
Suhaizan dan calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar sebelum itu hadir meninjau Pusat Mengundi Awal di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Dua.
Beliau berkata, pihaknya turut dimaklumkan bahawa terdapat pengundi yang berada di Parlimen Pulai tetapi bekerja pada hari pengundian.
Begitupun, beliau yakin kumpulan berkenaan akan keluar menjalankan tanggungjawab mereka.
Sementara itu, bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) itu berkata kerjasama antara jentera PH dan Barisan Nasional (BN) di lapangan berada pada tahap yang baik dalam usaha meyakinkan penyokong masing-masing.
“Sekarang (Parlimen Pulai) PH (yang bertanding) tetapi tidak bermakna calon BN tidak bertanding. Calon BN bertanding, calon parti yang menaung di bawah Kerajaan Perpaduan bertanding tetapi mewakilkan kepada PH di Pulai. Tempat lain, lain lah keadaannya.
“Contoh (PRK Dewan Undangan Negeri) Pelangai, walaupun tiada lagi keputusannya, kerusi itu adalah (milik) BN dan pada waktu ini BN membantu PH (di Pulai). Kalau di Pelangai, insya-Allah PH akan membantu BN,” tambah beliau.
Seramai 927 pegawai polis dan anggota terlibat dalam pengundian awal hari ini.
Ia masing-masing di Dewan Nusantara, Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua melibatkan seramai 881 pengundi awal, manakala 46 orang di Bilik Gerakan, Balai Polis Kempas.
PRK Parlimen Pulai menyaksikan saingan tiga penjuru antara Suhaizan, Zulkifli, serta calon Bebas, Samsudin Mohd Fauzi.
#PRK Pulai #kaunter tambahan #CIQ #BSI
;