PRK Pulai: 28 laporan diterima, empat kertas siasatan dibuka - KP Johor
Hasimi Muhamad
September 5, 2023 12:20 MYT
September 5, 2023 12:20 MYT
JOHOR BAHRU: Sebanyak empat kertas siasatan dibuka sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram setakat ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata daripada jumlah tersebut dua kes berkenaan disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman termasuk salah satunya melibatkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sementara, dua lagi siasatan dijalankan oleh polis Johor iaitu melibatkan kesalahan merosakkan bahan kempen.
"Kita dah tangkap (suspek rosakkan bahan kempen) dan diberi jaminan oleh pihak polis, siasatan hampir selesai.
"Jumlah semua laporan polis yang diterima ialah 28, kebanyakannya berkaitan dengan kesalahan merosakkan bendera dan papan iklan.
"Yang dibuka dua (termasuk Muhyiddin) oleh Bukit Aman, dan keseluruhan adalah empat kes," katanya kepada pemberita selepas meninjau Pusat Mengundi Awal di Markas Pasukan Polis Marin Wilayan Dua, di sini hari ini.
Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan siasatan terhadap Muhyiddin dilakukan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan ketakutan dan kegentaran awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.
Beliau berkata, PDRM menerima satu laporan mengenai kenyataan Muhyiddin yang dibuat di sebuah balai polis di Kuala Lumpur dan siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Sementara, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang disiasat berhubung kenyataan beliau yang didakwa mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan dalam ceramahnya di markas parti itu di Bakri, Muar.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ketika proses rakaman percakapan pada Isnin, Abdul Hadi memilih untuk menjawab baki 19 soalan polis itu di mahkamah.
Mengulas lanjut, Kamarul Zaman berkata, sepanjang kempen berlangsung pihaknya tidak mengesan sebarang insiden yang di luar kawalan.
Begitupun, beliau menasihati calon-calon dan parti politik agar tidak memainkan isu 3R dalam tempoh kempen yang berbaki sekitar empat hari lagi.
"Tidak perlu mainkan isu 3R. Teruskan berkempen dengan positif. Bukan tak boleh berkempen, tetapi tunjukkan kekuatan dari segi agenda (politik) masing-masing. Tak perlu sentuh isu 3R.
"Jika sentuh juga, akan ada tindakan diambil dan ia menjejaskan perjalanan kempen dan sebagainya. Ia tidak elok," ujarnya lagi.
Sementara itu, Kamarul Zaman menambah Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menambah kekuatan anggota Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi memastikan kelancaran untuk pengundi yang menetap dan bekerja di Singapura.
"Memang akan ada tambahan anggota tetapi belum ditentukan lagi kerana di BSI pun kita sudah ada 200 lebih pegawai dan anggota, manakala polis trafik dalam 60 orang.
"Mungkin saya akan tambah kekuatan trafik, kerana itu yang penting. Kita buka semua laluan dan sudah berbincang dengan pihak Imigresen. Kerajaan Negeri pun akan pastikan laluan itu dibuka," katanya.