PRK Port Dickson: 7,000 pengundi awal mula mengundi

Arfa Yunus
Oktober 9, 2018 08:32 MYT
Lebih 4,000 pegawai tentera dan pasangan berdaftar mula mengundi di Hangar, Pusat Latihan Asas Tentera Darat, Port Dickson, hari ini. - Astro AWANI / ARFA YUNUS
Seramai 6,690 pegawai tentera dan pasangan mula mengundi di dua lokasi bermula jam 8 pagi ini bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.
Lebih 4,000 pegawai tentera dan pasangan berdaftar mula mengundi di Hangar, Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.
Manakala sekitar 1,400 pegawai tentera dan pasangan pula mula mengundi di Kem Segenting bagi DUN Linggi serta 555 pegawai polis akan mengundi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson.
Turut membuang undi pada hari pengundian awal hari ini ialah salah seorang calon PRK Parlimen P.132 Port Dickson itu sendiri, Lt. Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar.
Calon Pas itu hadir mengundi di PUSASDA jam 8:15 pagi.
Keseluruhannya, sejumlah 7,191 pengundi awal bagi PRK Port Dickson dijangka mengundi di tiga pusat mengundi hari ini.
Tiga pusat pengundian itu membabitkan 13 saluran dengan 10 dibuka sehingga 5.30 petang sementara bakinya sebanyak tiga saluran di IPD Port Dickson iaitu Khemah A, B dan C akan ditutup pada 12 tengah hari kerana jumlah pengundi yang kecil.
Selepas pusat pengundian ditutup, semua kertas undi akan disimpan di lokap IPD Port Dickson dan hanya akan dikira di pusat penjumlahan undi di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson pada 13 Okt nanti.
Proses pengundian awal itu akan disaksikan oleh ejen calon yang bertanding di bahagian pilihan raya yang berkenaan dan pemerhati pilihan raya terdiri daripada wakil organisasi serta pertubuhan bukan kerajaan yang dilantik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pegawai tentera bersama pasangan mereka mula mengundi di Hangar Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) sejak 8pagi tadi dan dijangka berakhir seawal 2 petang nanti @501Awani pic.twitter.com/WnYMcD9jcK

— arfa_yunus (@arfayunus38) October 9, 2018
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
PRK Parlimen Port Dickson adalah PRK keempat menyusuli PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, DUN Seri Setia dan DUN Balakong - kesemuanya di Selangor - selepas pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei lepas.
PRK ini menyaksikan persaingan tujuh penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Nazari dan lima calon Bebas termasuk bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Tiga lagi calon Bebas ialah personaliti media sosial Stevie Chan Ken Leong, pakar perunding pengurusan Kan Chee Yuen dan bekas pensyarah Lau Seck Yan.
Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah bagi membolehkan Anwar yang juga Ketua Umum PKR bertanding dalam usaha kembali ke Dewan Rakyat.
Kerusi tersebut yang merupakan kubu kuat PKR sejak 2008, mempunyai lima kerusi DUN iaitu Chuah dan Lukut, masing-masing dikuasai DAP, Bagan Pinang dan Linggi (Barisan Nasional) serta Sri Tanjung (PKR).
SPR menetapkan Sabtu ini sebagai hari pengundian.
Parlimen Port Dickson memiliki 75,770 pengundi berdaftar merangkumi 43 peratus pengundi Melayu, Cina (33 peratus), India (22 peratus) dan lain-lain kaum (2 peratus).
#pengundian awal #polis #PRK Port Dickson #tentera
;