PRK: Polis belum terima laporan dua wartawan wanita dikasari - Ayob Khan

Shuhada Abdul Kadir
September 9, 2023 16:14 MYT
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata pihaknya masih menunggu laporan serta penjelasan lanjut daripada kedua-dua pihak yang terlibat.- Gambar fail/Bernama
MUAR: Polis belum menerima sebarang laporan berhubung dakwaan berlaku insiden pengamal media dikasari pegawai pengiring seorang menteri ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Selasa lalu.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sebaliknya pihaknya masih menunggu laporan serta penjelasan lanjut daripada kedua-dua pihak yang terlibat.
“Bagi masa sedikit sebab (dakwaan) itu adalah versi yang dikeluarkan oleh pihak media, saya belum dapat apa-apa laporan.
“Saya difahamkan insiden itu mungkin timbul ketika menteri berkenaan dalam perjalanan untuk naik kenderaan dan mungkin di belakang itu adalah sedikit (insiden) tolak menolak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau proses pengundian PRK bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) Pei Chai, Bakri di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu beliau berkata, dakwaan berlakunya gangguan seksual dalam kejadian itu juga hanya dapat disahkan selepas pihaknya menerima laporan semua pihak terlibat.
“Setakat ini hanya kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak media (jadi) kita tunggu lah kenyataan-kenyataan rasmi yang akan dikeluarkan oleh kementerian terlibat,” ujarnya.
Semalam, Pengerusi Kelab Media Johor, Mohamad Fauzi Ishak dilaporkan berkata, berlaku dua insiden melibatkan pengamal media dikasari beberapa pegawai pengiring seorang menteri dalam dua acara kempen parti politik berasingan di Taman Anggerik dan Taman Dahlia, Johor Bahru.
Beberapa pegawai pengiring didakwa telah menghalang kumpulan pengamal media ketika sidang media menteri berkenaan diadakan, antaranya menyentuh tangan seorang wartawan wanita yang sedang merakam sidang media tersebut.
Pegawai pengiring juga dikatakan bertindak mencubit belakang pinggang seorang lagi wartawan wanita beberapa kali bertujuan untuk menghalangnya melaksanakan tugas semasa sidang media.
Ujar Mohamad Fauzi, perbuatan menyentuh tangan dan mencubit wartawan wanita sehingga mengakibatkan mangsa tidak selesa dan terancam itu juga boleh dianggap sebagai gangguan seksual.
#wartawan dikasari #Parlimen Pulai #ayob khan mydin pitchay #PRK Johor
;