PRK Pelangai: Tak sampai 24 jam, Amizar terima banyak permohonan

Hasimi Muhamad
Oktober 8, 2023 11:23 MYT
Amizar menyantuni penduduk ketika sesi jelajah mesra di Felda Chemomoi, Pelangai hari ini - Astro AWANI
BENTONG: Kurang 24 jam bergelar wakil rakyat, Datuk Amizar Abu Adam telah menerima banyak permohonan bantuan daripada penduduk sekitar termasuk ketika sesi jelajah mesra di Felda Chemomoi, di sini pada Ahad.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai itu berkata, permohonan-permohonan berkenaan disampaikan melalui surat dan aplikasi WhatsApp, untuk dipertimbangkan.
Justeru jelas beliau, selari dengan Ikhtiar Pelangai yang dijanjikan dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai, beberapa perkara segera perlu dilakukan termasuk melibatkan pembangunan infrastruktur.
"Antaranya ialah infrastruktur yang perlu ditambah baik ialah Kompleks Pasar Tani (seperti) Pasar Rabu tetapi di Pasar Felda Chemomoi yang perlu dibaiki ataupun dinaik taraf.
"Kemudiannya ialah lapangan gasing yang perlu dibuat, dan salah satu ialah padang futsal. Perkara ini perlu diselesaikan segera bagi pihak anak muda, bolehlah beriadah dan juga melakukan aktiviti sukan pada sebelah petang," katanya ketika ditemui media di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Amizar berkata cadangan untuk mewujudkan stesen minyak di Simpang Pelangai yang termasuk dalam manifestonya, ketika ini di peringkat rundingan dengan syarikat-syarikat berkaitan.
Ahli Jawatankuasa UMNO Bentong itu menambah, menerusi pembinaan stesen minyak berkenaan ia dijangka dapat menjadi nilai tambah kepada pembangunan 'Pelangai Gateway' yang dihasratkan.
"Di situ nanti, salah satunya kita akan dapat sekolah tahfiz di bawah Yayasan Prihatin Pahang dan di situlah tempat yang kita akan buat Mini Township.
"Township ini dilhamkan oleh Allahyarham (Datuk Seri Johari Harun. Insya-Allah kita akan teruskan rancangan dan kini ia dalam peringkat perbincangan dengan pihak Majlis (perbandaran Bentong)," ujar beliau.
Dalam masa yang sama, tumpuan lain jelas Amizar adalah memastikan capaian talian komunikasi di kawasan Pelangai dapat dipertingkatkan demi kesejahteraan penduduk, selain jalan raya baharu yang akan menghubungkan Karak ke Simpang Pelangai.
Dalam saingan tiga penjuru pada PRK DUN Pelangai, Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kerusi tersebut selepas Amizar memperoleh 7,324 undi.
Begitu pun, Amizar menang dengan majoriti undi lebih rendah iaitu sebanyak 2,949 berbanding 4,048 undi yang dimenangi penyandangnya, Allahyarham Johari.
Sementara dua lagi pencabarnya, calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat mendapat 4,375 undi dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli hanya memperoleh 47 undi, sekali gus hilang deposit.
#PRK Pelangai #Barisan Nasional #Amizar Abu Adam
;