PRK Pelangai: Polis tempatkan 600 pegawai dan anggota
Bernama
September 12, 2023 12:44 MYT
September 12, 2023 12:44 MYT
KUANTAN: Seramai 600 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan bagi mengawal keselamatan perjalanan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, kata Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman.
Beliau berkata jumlah itu memadai dan pegawai serta anggota berkenaan telah menjalani sesi latihan sebagai persediaan menghadapi PRK tersebut.
"Berdasarkan (pengalaman) pilihan raya lepas, keselamatan di kawasan terlibat adalah baik, terjamin dan terkawal dengan tiada insiden luar biasa berlaku.
"Polis yakin pilihan raya ini dapat diadakan dalam keadaan yang aman dan tenang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan Polis Kontinjen Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini.
Yahaya turut mengingatkan calon yang bertanding untuk tidak menyentuh isu 3R iaitu agama, kaum dan raja selain mendapatkan permit ceramah supaya kawalan keselamatan dapat dilakukan.
PRK DUN Pelangai diadakan ekoran kematian penyandangnya Datuk Seri Johari Harun, 53, yang merupakan seorang daripada 10 yang maut akibat nahas pesawat terhempas berdekatan Bandar Elmina di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 7 Okt ini dengan hari penamaan calon berlangsung pada 23 Sept manakala 3 Okt sebagai hari mengundi awal.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas, Johari yang mewakili BN menang dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon PN Kasim Samat yang memperoleh 3,260 undi, manakala calon Pakatan Harapan (PH) Ahmed Wafiuddin Shamsuri mendapat 2,031 undi dan calon Pejuang Isa Ahmad meraih 65 undi.
-- BERNAMA