PRK Pelangai: Polis Pahang rakam keterangan Muhammad Sanusi

Bernama
Oktober 10, 2023 14:01 MYT
Keterangan Muhammad Sanusi direkodkan di Balai Polis Manchis, Bentong pada 7 Okt lepas, susulan terdapat dua laporan dibuat terhadap beliau. - Gambar fail/Bernama
KUANTAN: Polis Pahang telah merakamkan percakapan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor, difahamkan berhubung kenyataan yang dibuat semasa sesi ceramah pada 22 Sept lepas, sehari sebelum penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata keterangan Muhammad Sanusi direkodkan di Balai Polis Manchis, Bentong pada 7 Okt lepas, susulan terdapat dua laporan dibuat terhadap beliau.
"Keseluruhannya, kita sudah mengambil keterangan lima individu dan siasatan lanjut masih dijalankan sebelum dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya," katanya kepada Bernama semasa ditemui selepas Perhimpunan Bulanan Polis Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini hari ini.
Beliau berkata siasatan terhadap Muhammad Sanusi dibuat mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Dalam perkembangan lain, Yahaya berkata laporan bedah siasat terhadap pendaki warga India Nandan Suresh Nadkarni, 44, yang ditemukan maut selepas mendaki Gunung Jasar di Cameron Highlands sebelum ini, mengesahkan mangsa mengalami hipotermia.
"Urusan berkaitan penyerahan jasad mangsa kepada wakil waris telah dilakukan oleh polis kontinjen Perak selepas bedah siasat di hospital di Ipoh selesai pada 1 Okt lepas," katanya.
Sebelum ini, mangsa dilaporkan hilang sejak 22 Sept semasa melakukan aktiviti mendaki di Trail 10 Gunung Jasar seorang diri, dipercayai tersasar dari laluan asal semasa turun dari puncak bukit sehingga tersesat melepasi sempadan Perak.
Mayat mangsa ditemukan pada petang 30 Sept di satu anak sungai kira-kira enam kilometer dari Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di kaki gunung itu, dan dibawa turun menggunakan helikopter Pasukan Gerakan Udara (PGU) pada 1 Okt.
Nandan Suresh yang bekerja sebagai aktuari mendaftar masuk ke Hikers Sleep Port Guest House, Tanah Rata pada 19 Sept dan sepatutnya mendaftar keluar pada 24 Sept, namun rakaman kamera liter tertutup (CCTV) di sekitar Tanah Rata mendapati mangsa keluar dari hotel pada pagi 22 Sept.
-- BERNAMA
#Muhammad Sanusi Md Noor #polis rakam keterangan #PRK Pelangai #ceramah #akta hasutan
;