PRK P.Pauh: Jangan guna GST sebagai bahan kempen - Mohammad Agus

Astro Awani
April 26, 2015 08:38 MYT
MOHAMMAD AGUS: Jangan guna GST sebagai bahan kempen PRK Permatang Pauh - Gambar fail
UMNO dinasihat tidak menggunakan isu cukai barang dan perkhidmatan (GST) sebagai jaminan cukai itu dapat menurunkan harga barang semasa berkempen pada pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh.
Penganalisis politik, Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berkata, hujah GST yang dikatakan lebih rendah cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dilihat kempen tidak masuk akal.
"Di Permatang Pauh ini, isu utamanya adalah GST. Macam mana rakyat hendak percaya calon UMNO boleh membawa perubahan, jika GST sekarang sudah cukup memeritkan mereka.
"Apatah lagi jika setiap hari pengundi disuapkan dengan hujah cukai GST adalah lebih rendah dari SST. Itu kempen yang tidak masuk akal. Yang rakyat mahu ialah jika cukai GST lebih rendah, mengapa harga barang sekarang lebih mahal?" katanya dalam catatan terbaharu di laman Facebooknya.
PRK Permatang Pauh bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Rakyat Malaysia dan seorang calon bebas.
Empat calon berkenaan ialah Suhaimi Sabudin, 44, daripada BN; Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, 62 (PKR); calon bebas Salleh Isahak, 53; dan Azman Shah, 50 (Parti Rakyat Malaysia).
BACA: PRK P.Pauh: 'Keluar daripada legasi Anwar satu langkah terbaik' - pengundi
BACA: Hadi hormati pendirian PAS Permatang Pauh boikot PRK
Kata Dr Mohammad Agus, UMNO masih dilihat berpeluang untuk menang di Permatang Pauh jika tidak menyentuh isu GST semasa berkempen.
"Politik ini serba mungkin. Biarpun sukar untuk menang di Permatang Pauh, tetapi UMNO tetap masih ada peluang. Cumanya cukup-cukuplah berkempen atas isu GST menurunkan harga barang. Realistiklah!," jelasnya.
Ujarnya, pengundi juga disifatkan susah hendak percaya calon UMNO boleh membawa perubahan selain menyedari isu utama di PRK Permatang Pauh adalah GST.
Namun katanya, perbincangan yang dibuat juga melihat UMNO boleh menang dengan majoriti kecil di Permatang Pauh.
"Hujahnya kerana jentera UMNO termasuk jentera kerajaan pusat bekerja kuat di Permatang Pauh. Kedua, calon pertaruhan PKR adalah calon kitar semula. Ketiga, PKR telah membuktikan bahawa ia parti keluarga yang hanya berjuang untuk Anwar yang pasti ditolak rakyat.
"Keempat, PAS tidak membantu calon PKR. Kelima, PR sudah di ambang perpecahan dan ini tidak memberi kelebihan kepada PKR. Keenam, pengundi Melayu tidak akan memberi undi kepada presiden parti yang menolak hudud.
"Kawan saya bersemangat dengan hujahnya kerana ada sinar baru untuk perubahan bagi masyarakat di Permatang Pauh. Mereka sangat berharap dengan wakil rakyat UMNO nanti, rakyat Permatang Pauh tidak lagi menjadi katak di bawah tempurung," katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Permatang Pauh pada 7 Mei, manakala pengundian awal 3 Mei.
#agus #GST #Permatang Pauh #SST #UMNO
;