PRK Nenggiri: Semua pihak diminta berhati-hati sebar kandungan palsu terutama libatkan AI
Bernama
Ogos 4, 2024 13:00 MYT
Ogos 4, 2024 13:00 MYT
KULAI: Semua pihak diminta berhati-hati dalam penyebaran kandungan palsu terutama membabitkan kandungan yang dibuat menerusi teknologi kecerdasan buatan (AI) di platform media sosial, sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri yang memasuki hari kedua.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan terus membuat pemantauan di semua platform laman sosial, bagi mengesan sebarang hantaran yang menyalahi undang-undang.
"Pemantauan oleh MCMC memang sentiasa dilaksana, jadi saya nasihatkan kepada pengguna media sosial apabila kita terima satu maklumat yang kita tidak pasti, kita jangan sebarkan, kerana zaman teknologi kecerdasan buatan (AI) lagi senang dibuat video gambar.
"Dengan AI ini senang sahaja untuk buat video, gambar yang disunting dan tentunya banyak juga penipu yang guna pakai AI untuk buat video Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), video orang-orang terkenal.
"Dalam waktu PRK ada kemungkinan ada pihak yang akan guna pakai AI untuk buat kandungan palsu jadi MCMC bersama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan semua pihak, akan terus buat pemantauan... apabila ada aduan kita akan minta platform media sosial untuk turunkan.
"3R memang boleh dipanggil oleh PDRM dan MCMC. Salah guna kemudahan jaringan juga merupakan salah satu kesalahan, jadi bila terima aduan sama ada MCMC buat siasatan, atau PDRM buat siasatan dan akan dibantu MCMC," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program 'Cemerlang Hari Ini, Gemilang Esok' Peringkat Parlimen Kulai di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Rahman Putra Kulai, Batu 21, Taman Kulai Utama di sini hari ini.
Teo turut menasihatkan semua pihak termasuk wakil parti dan penyokong untuk berkempen secara rasional dan tidak menyentuh isu sensitif yang boleh menganggu gugat keharmonian negara.
"Setakat ini belum lagi (laporan dan aduan)...saya harap bahawa PRK ini kedua pihak baik wakil kerajaan atau pembangkang, mengambil peluang untuk bertukar pandangan mereka secara rasional.
"Kepada yang bertanding, penyokong-penyokong dan pengguna media sosial diingatkan berhati-hati dalam menjalankan kempen, kita boleh berbahas tetapi biarlah dalam keadaan rasional. Biarlah semua berkempen dalam keadaan rasional dan harmoni," katanya.
PRK Nenggiri berlangsung 17 Ogos berikutan kekosongan kerusi diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun, berikutan bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan Ke-15 tahun lepas, Mohd Azizi yang bertanding menggunakan logo PAS menewaskan calon Barisan Nasional Ab Aziz Yusoff dengan majoriti 810 undi.
-- BERNAMA