PRK Nenggiri: Pusat mengundi ditutup, kiraan bermula
Astro Awani
Ogos 17, 2024 18:01 MYT
Ogos 17, 2024 18:01 MYT
GUA MUSANG: Kesemua 20 pusat mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri yang dibuka sejak 8 pagi tadi ditutup sepenuhnya jam 6 petang tadi.
Sebanyak empat pusat mengundi ditutup pada 2 petang iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi, Pusat Pendidikan Komuniti Pos Gob, SK Sri Permai dan SK Kuala Sungai.
Sementara itu, dua pusat mengundi di Dewan Orang Ramai Pos Simpor dan SK Pulat pula ditutup jam 3 petang.
Baki 14 lagi pusat mengundi ditutup jam 6 petang tadi.
Ketika ini, proses pengiraan undi oleh pegawai dan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang berlangsung.
Terdahulu, 43 kertas undi pos telah dikeluarkan untuk individu yang bertugas sepanjang PRK termasuk anggota polis.
PRK Nenggiri menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang mewakili Kerajaan Perpaduan dan wakil Perikatan Nasional Mohd Rizwadi Ismail yang bertanding menggunakan logo PAS.